Adab Memasuki Tandas

Apabila engkau hendak menuju ke bilik air untuk qada hajat, maka dahulukanlah kaki kirimu ketika memasuki tandas dan kaki kananmu ketika keluar. Janganlah engkau membawa bersama-samamu sesuatu yang ada padanya nama Allah Taala dan rasul-Nya dan janganlah engkau masuk dalam keadaan tidak menutup kepala. 

Ucapkanlah ketika masuk ke dalam tandas:

بِاسْمِ اللهِ، أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الرِّجْسِ النَّجِسِ، الْخَبِيْثِ الْمُخْبِثِ، الشَّيْطَانِ الرَّجِيْم

Terjemahan: Dengan nama Allah, aku berlindung dengan Allah daripada kekotoran najis, suatu yang jahat lagi suka menyuruh orang lain membuat kejahatan iaitu syaitan yang direjam.

Dan ucapkanlah ketika keluar:

غُفْرَانَكَ، الْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَذْهَبَ عَنِّي مَا يُؤْذِيْنِيْ، وَأَبْقَى عَلَيَّ مَا يَنْفَعُنِيْ

Terjemahan: Ya Allah! Ampunkanlah aku. Segala puji tertentu bagi Allah yang menghilangkan daripadaku apa-apa yang menyakitiku dan mengekalkan di dalam badanku apa-apa yang memberi manfaat kepadaku. 

Sepatutnya engkau menyediakan segala peralatan untuk berinstinjak sebelum qada hajat, tidak berinstinjak dengan air di tempat qada hajat dan melakukan istibrā’ daripada air kencing (memastikan saki-baki air kencing telah keluar dari zakar) dengan kaedah tanaḥnuḥ (berdeham-deham) dan natr (menggerak-gerakkan zakar) sebanyak tiga kali kemudian melalukan tangan di bawah zakarmu. 

Jika engkau berada di tanah yang lapang, maka jauhilah daripada pandangan orang, tutupilah dengan sesuatu jika engkau mendapatinya dan janganlah engkau membuka auratmu sebelum sampai ke tempat qada hajat. Janganlah engkau mengadap dan membelakangi matahari dan bulan. Janganlah engkau mengadap dan membelakangi kiblat. Janganlah engkau qada hajat di tempat awam. Janganlah engkau buang air kecil di dalam air yang tenang, di bawah pohon yang berbuah dan di dalam lubang.

Elakkanlah daripada membuang air kecil di atas tanah yang keras dan pada laluan angin bagi mengelakkan daripada terkena percikan air kencing tersebut.

Duduklah dengan memberatkan atas kaki kiri. Janganlah engkau membuang air kecil secara berdiri kecuali jika dalam keadan darurat. Sunatnya, engkau beristinjak dengan menggunakan batu dan air bersama-sama.

Jika engkau hendak menggunakan batu sahaja, maka hendaklah engkau menggunakan tiga biji batu yang suci lagi pula dapat mengeringkan ain najis dengan cara engkau menyapu batu tersebut pada tempat keluar najis, dengan syarat najis tersebut tidak berpindah dari tempatnya. Begitu juga engkau akan menyapu zakar dengan menggunakan tiga sisi daripada sebiji batu.

Jika najis tersebut tidak dapat dihilangkan dengan tiga biji batu, maka engkau sempurnakanlah sapuan tersebut dengan menggunakan lima atau tujuh biji batu sehingga dibersihkan dengan bilangan ganjil.

Mengganjilkan bilangan sapuan adalah sunat, manakala menghilangkan najis itu adalah wajib.

Janganlah engkau berinstinjak melainkan dengan menggunakan tangan kiri.

Ucapkanlah ketika selesai daripada istinjak:

اللّٰهُمَّ طَهِّرْ قَلْبِيْ مِنَ النِّفَاقِ وَحَصِّنْ فَرْجِيْ مِنَ الْفَوَاحِشِ

Terjemahan: Ya Allah! Sucikanlah hatiku daripada sifat munafik dan peliharakanlah kemaluanku daripada perkara-perkara keji.

Setelah selesai daripada beristinjak, gosoklah tanganmu ke tanah atau dinding, kemudian basuhlah tangan tersebut.

Al-Azkar

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”

(Surah Ar-Ra’d, 13:28)