Apabila engkau ditimpa junub yang disebabkan oleh keluar mani ataupun jimak, maka ambillah sebekas air ke bilik mandi, basuhlah kedua-dua tanganmu pada permulaannya sebanyak tiga kali, hilangkanlah segala kotoran yang ada di badanmu, berwuduklah seperti cara berwuduk yang telah disebutkan sebelum ini untuk menunaikan solat berserta dengan segala doa dan zikirnya dan jadikanlah basuhan kedua-dua kakimu sebagai basuhan terakhir (ketika mandi nanti) supaya air tidak terbazir.
Apabila engkau selesai daripada berwuduk, maka tuangkanlah air ke bahagian kanan badanmu sebanyak tiga kali dan ketika itu engkau berniat mengangkat hadas junub, kemudian tuangkanlah air ke bahagian kiri badanmu sebanyak tiga kali, kemudian tuangkanlah air ke atas kepalamu sebanyak tiga kali, gosoklah apa-apa yang ada di bahagian depan dan belakang badanmu, selatilah rambut di kepalamu dan sampaikanlah air ke kawasan yang berlipat-lipat daripada badanmu dan tempat-tempat tumbuh bulu, baik yang nipis mahupun tebal.
Berjaga-jagalah agar engkau tidak menyentuh zakarmu selepas berwuduk. Jika tanganmu terkena padanya maka ulangilah wuduk tersebut.
Perkara yang fardu daripada tatacara mandi junub yang telah dinyatakan ialah:
Niat dan meratakan air ke seluruh badan sahaja.
Manakala perkara yang fardu daripada wuduk adalah membasuh muka dan kedua-dua tangan berserta kedua-dua siku, menyapu sebahagian daripada kepala dan membasuh kedua-dua kaki berserta kedua-dua buku lali. Hendaklah engkau membasuh kesemua anggota ini dengan sekali basuhan berserta dengan niat (ketika membasuh bahagian muka) dan tertib.
Selain daripada perkara yang disebutkan tadi ialah sunat-sunat muakkad yang kelebihannya banyak dan pahalanya besar. Adapun orang yang meremehkan sunat-sunat tersebut merupakan orang yang rugi, bahkan dia boleh merosakkan amalan kefarduannya kerana amalan-amalan sunat merupakan penampung bagi kekurangan yang terdapat pada amalan-amalan fardu.