Adab Bertayammum

Jika engkau tidak dapat menggunakan air kerana ketiadaannya selepas berusaha mencarinya, adanya sesuatu halangan daripada sampai kepada air seperti kerana terdapat binatang buas atau dipenjarakan, air yang ada itu engkau perlukan untuk menghilangkan dahagamu atau dahaga kawanmu, air itu milik orang lain sedangkan dia tidak mahu menjualnya kecuali dengan harga yang lebih mahal daripada harga pasaran atau ada pada badanmu itu luka atau sakit padahal engkau bimbang akan berlaku kemudaratan ke atas dirimu, maka nantikanlah sehingga masuknya waktu solat fardu.

Kemudian hendaklah engkau qaṣad (tujukan hati) kepada tanah berdebu yang bersih, tidak bercampur dengan benda yang lain, suci dan lembut. Maka tepuklah kedua-dua tapak tanganmu ke atas tanah tadi sambil merapatkan jari-jemarimu serta berniatlah “mengharuskan solat”, sapulah kedua-dua tanganmu ke seluruh mukamu sekali dan janganlah engkau bersusah-susah untuk menyampaikan debu itu ke tempat tumbuh bulu, sama ada nipis mahupun tebal.

Setelah itu, tanggalkanlah cincinmu dan tepuklah kedua-dua tanganmu ke atas tanah buat kali kedua sambil merenggangkan di antara jari-jemarimu dan sapukanlah kedua-dua tanganmu sehingga kedua-dua sikumu.

Jika engkau tidak dapat meratakan kedua-dua tanganmu dengan pukulan tadi, maka tepuklah sekali lagi sehingga engkau dapat meratakannya.

Kemudian sapulah salah satu tapak tangan dengan tapak tangan yang lain dan juga celah jari-jemarimu dengan menyelatinya. Dirikanlah satu solat fardu sahaja dengan tayamum tersebut dan seberapa banyak solat sunat yang engkau inginkan setelah solat fardu.

Apabila engkau hendak melakukan solat fardu yang lain, maka lakukanlah tayamum yang lain bagi solat tersebut.

Al-Azkar

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”

(Surah Ar-Ra’d, 13:28)