Adab Hari Jumaat

Ketahuilah bahawa sesungguhnya hari Jumaat itu ialah hari raya bagi orang-orang yang beriman.

Hari Jumaat itu merupakan hari yang mulia lagi hari yang Allah Taala mengkhususkannya kepada umat ini.

Terdapat padanya satu saat tersembunyi yang tidak berbetulan seseorang hamba Muslim akan waktu tersebut padahal ia memohon hajat kepada Allah Taala pada saat tersebut melainkan Allah mengurniakan hajat itu kepadanya.

Maka hendaklah engkau bersiap sedia untuknya pada hari Khamis dengan membersihkan pakaian, memperbanyakkan tasbih dan istighfar selepas waktu asar hari Khamis kerana waktu ini menyamai kelebihan yang terdapat pada hari Jumaat.

Hendaklah engkau berniat puasa pada hari Jumaat tetapi perlulah disertakan puasa hari Sabtu atau Khamis kerana adanya larangan pada menunggalkan puasa hari Jumaat.

Apabila telah tiba kepadamu waktu subuh, maka hendaklah engkau mandi kerana bahawa sesungguhnya mandi Jumaat itu adalah wajib (suatu perkara yang sabit daripada Nabi ﷺ lagi sangat dituntut) ke atas setiap orang yang baligh.

Kemudian hendaklah engkau berhias dengan pakaian yang putih kerana bahawa sesungguhnya pakaian yang putih itu ialah pakaian yang paling disukai oleh Allah Taala.

Hendaklah engkau memakai pewangi yang paling harum yang ada padamu.

Bersungguh-sungguhlah dalam membersihkan badanmu dengan bercukur, bergunting, memotong kuku, bersugi dan segala bentuk bersuci yang lain serta bersungguh-sungguh dalam mengharumkan bau.

Kemudian hendaklah engkau pergi ke masjid pada awal pagi dan berjalanlah menuju kepadanya dalam keadaan yang tidak tergopoh-gapah dan tenang. Sesungguhnya Rasulullah ﷺ telah bersabda:

(مَنْ رَاحَ إِلَى الْجُمُعَةِ فِي السَّاعَةِ الْأُوْلى فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، ومَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، ومَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا، ومَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ  دَجَاجَةً، ومَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الْخَامِسَةِ فَكَأَنَّمَا أَهْدَى بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الْإِمَامُ طُوِيَتِ الصُّحُفُ، وَرُفِعَتِ الْأَقْلَامُ، وَاجْتَمَعَتِ الْمَلَائِكَةُ عِنْدَ الْمِنْبَرِ يَسْتَمِعُوْنَ الذِّكْرَ)

Terjemahan: Sesiapa yang pergi solat Jumaat pada saat yang pertama maka seolah-olah dia berkorban seekor unta, sesiapa yang pergi pada saat yang kedua maka seolah-olah dia berkorban seekor lembu, sesiapa yang pergi pada saat yang ketiga maka seolah-olah dia berkorban seekor kibas, sesiapa yang pergi pada saat yang keempat maka seolah-olah dia berkorban seekor ayam dan sesiapa yang pergi pada saat yang kelima maka seolah-olah dia menghadiahkan sebiji telur. Maka apabila imam sudah keluar, maka dilipatlah buku catatan, diangkat segala pena dan para malaikat berhimpun di sisi mimbar mendengar khutbah.

Dikatakan: “Sesungguhnya kadar hampirnya manusia ketika memandang Allah Taala adalah mengikut kadar awalnya mereka pergi solat Jumaat.”

Kemudian apabila engkau telah masuk ke dalam masjid, maka carilah saf yang pertama. Apabila orang ramai telah berhimpun, maka janganlah engkau melangkah bahu-bahu mereka dan jangan juga engkau melintas di hadapan mereka. Duduklah berdekatan dengan dinding atau tiang supaya tidak dilintasi di hadapanmu.

Janganlah engkau duduk sehingga engkau mendirikan solat taḥiyyat al-masjid. Sebaik-baiknya engkau solat sebanyak empat rakaat sedangkan engkau membaca pada setiap rakaat selepas daripada al-Fatihah itu surah al-Ikhlas sebanyak 50 kali. Maka telah diriwayatkan dalam hadis: “Bahawa sesungguhnya sesiapa yang melakukan amalan yang demikian itu maka dia tidak akan mati sehinggalah dia melihat tempat tinggalnya di dalam syurga atau diperlihatkan baginya tempat tersebut.”

Janganlah engkau meninggalkan solat taḥiyyat al-masjid sekalipun imam sedang berkhutbah.

Termasuk daripada sunnah bahawa engkau membaca pada empat rakaat surah al-An‘am, al-Kahf, Taha dan Yasin. Sekiranya engkau tidak mampu maka bacalah surah Yasin, as-Sajdah, ad-Dukhan dan al-Mulk.

Janganlah engkau meninggalkan membaca surah-surah ini pada malam Jumaat kerana terdapat padanya kelebihan yang banyak.

Sesiapa yang tidak mampu untuk membaca surah-surah tersebut, maka hendaklah dia memperbanyakkan membaca surah al-Ikhlas.

Hendaklah engkau memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah Muhammad ﷺ pada hari ini secara khusus.

Apabila imam telah keluar maka hentikanlah solat dan bercakap-cakap. Sibukkanlah dirimu dengan menjawab muazin kemudian mendengar khutbah dengan penuh perhatian serta mengambil pengajaran daripadanya. Jangan sekali-kali engkau bercakap ketika khutbah. Maka telah diriwayatkan di dalam hadis:

(أَنَّ مَنْ قَالَ لِصَاحِبِهِ وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ: أَنْصِتْ أَوْ صَهْ فَقَدْ لَغَا، وَمَنْ لَغَا فَلَا جُمُعَةَ لَهُ)

Terjemahan: Bahawa sesungguhnya sesiapa yang mengatakan kepada temannya ketika imam sedang berkhutbah: “diamlah” maka dia telah sia-sia dan sesiapa yang telah sia-sia maka tiadalah Jumaat baginya.

Maksudnya, ucapannya “diamlah” itu adalah suatu percakapan.

Maka sepatutnya dia melarang orang lain dengan isyarat bukan dengan lafaz.

Kemudian hendaklah engkau mengikuti imam sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini.

Apabila engkau telah selesai daripada solat dan memberi salam, maka bacalah surah al-Fatihah sebelum daripada engkau bercakap-cakap sebanyak tujuh kali, surah al-Ikhlas sebanyak tujuh kali, surah al-Falaq sebanyak tujuh kali dan surah an-Nas sebanyak tujuh kali kerana yang demikian itu akan melindungimu dari Jumaat ini hingga hari Jumaat berikutnya dan membentengimu daripada syaitan. Bacalah selepas daripada itu:

(اللّٰهُمَّ، يَا غَنِيُّ يَا حَمِيْدُ، يَا مُبْدِئُ يَا مُعِيْدُ، يَا رَحِيْمُ يَا وَدُوْدُ، أَغْنِنِيْ بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَبِطَاعَتِكَ عَنْ مَعْصِيَتِكَ، وَبِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ)

Terjemahan: Ya Allah! Wahai Tuhan Yang Maha Kaya! Wahai Tuhan Yang Maha Terpuji! Wahai Tuhan Yang Memulai Ciptaan! Wahai Tuhan Yang Mengulangi Ciptaan! Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih! Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih! Cukupkanlah daku dengan rezeki-Mu yang halal bukan yang haram, cukupkanlah daku dengan ketaatan kepada-Mu bukan maksiat kepada-Mu dan cukupkanlah daku dengan kurniaan-Mu bukan selain daripada-Mu.

 

Kemudian dirikanlah solat sunat ba‘diyyah Jumaat sebanyak dua, empat atau enam rakaat. Maka kesemua bilangan ini diriwayatkan dalam pelbagai keadaan yang berbeza.

Kemudian hendaklah engkau duduk di dalam masjid sehingga waktu maghrib atau waktu asar. Jadilah engkau orang yang bijak mencari saat yang mulia itu kerana bahawa sesungguhnya saat itu tersembunyi pada sepanjang hari. Maka semoga engkau akan mendapatkan saat tersebut sedangkan engkau dalam keadaan khusyuk dan merendahkan diri kepada Allah Taala.

Janganlah engkau hadir majlis yang tidak berfaedah dan janganlah engkau duduk bersama para penglipur lara di dalam masjid tetapi hadirlah majlis ilmu yang bermanfaat, iaitu majlis yang menambahkan ketakutanmu kepada Allah Taala dan mengurangkan keinginanmu kepada dunia. Setiap ilmu yang tidak memalingkanmu daripada dunia kepada akhirat maka kejahilan itu lebih bermanfaat kepadamu daripadanya. Maka mohonlah berlindung dengan Allah Taala daripada ilmu yang tidak bermanfaat.

Banyakkanlah berdoa ketika matahari terbit, tergelincir dan terbenam, ketika waktu iqamat, ketika khatib naik ke atas mimbar dan ketika orang berdiri untuk mendirikan solat kerana kemungkinan waktu yang mulia tersebut berada dalam waktu-waktu ini.

Berusahalah untuk agar engkau dapat bersedekah pada hari ini dengan sekadar kemampuanmu sekalipun sedikit supaya engkau dapat menghimpunkan antara solat, sedekah, puasa, membaca al-Quran, zikir dan iktikaf.

Jadikanlah hari Jumaat ini sebagai hari yang khusus untuk akhiratmu. Mudah-mudahan ia menjadi kafarah bagi hari-hari lain dalam minggu ini.

Al-Azkar

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”

(Surah Ar-Ra’d, 13:28)