Adab Keluar Ke Masjid

Apabila engkau telah selesai daripada bersuci, maka dirikanlah solat sunat subuh sebanyak dua rakaat di rumahmu sekiranya fajar telah terbit. Amalan tersebut adalah sebagaimana yang selalu dilakukan oleh Rasulullah ﷺ.

Setelah itu tujulah ke masjid.

Janganlah engkau meninggalkan solat berjemaah terutamanya solat subuh kerana solat berjemaah itu melebihi daripada solat bersendirian dengan 27 darjat.

Jika engkau bermudah-mudah dengan keuntungan seumpama ini, maka apakah manfaat yang engkau perolehi dalam menuntut ilmu?!

Hal ini demikian kerana hanya sanya hasil daripada menuntut ilmu itu ialah beramal dengannya.

         Apabila engkau berjalan menuju ke masjid, maka berjalanlah dengan perlahan-lahan, tenang dan tidak tergopoh-gapah.

Ucapkanlah dalam perjalananmu itu:

(اللّٰهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ بِحَقِّ السَّائِلِينَ عَلَيْكَ، وَبِحَقِّ الرَّاغِبِينَ إِلَيكَ، وَبِحَقِّ مَـمْشَايَ هَـٰـذَا إِلَيكَ، فَإِنِّيْ لَـــمْ أَخْرُجْ أَشَرًا، وَلَا بَطَرًا، وَلَا رِيَاءً، وَلَا سُـمْعَةً، بَلْ خَرَجْتُ اتِّقَاءَ سَخَطِكَ، وَابْتِغَاءَ مَرْضَاتِكَ، فَأَسْأَلُكَ أَنْ تُنْقِذَنِيْ مِنَ النَّارِ وَأَنْ تُدْخِلَنِي الْـجَنَّةَ، وَأَنْ تَغْفِرَ لِيْ ذُنُوبِيْ، فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ)

Terjemahan: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan hak sekalian hamba-Mu yang selalu meminta kepada-Mu, dengan hak sekalian hamba-Mu yang selalu mengharapkan kurniaan-Mu dan dengan hak tempat perjalananku ini menuju kepada-Mu. Sesungguhnya aku tidak keluar sama sekali kerana takbur, sombong, riyak dan menginginkan pujian tetapi aku keluar adalah semata-mata kerana menjauhi kemurkaan-Mu dan menuntut keredaan-Mu. Maka aku memohon kepada-Mu agar Engkau lepaskan aku daripada seksa api neraka, memasukkan aku ke dalam syurga dan mengampunkan segala dosaku. Kerana bahawa sesungguhnya tidak ada yang mengampuni segala dosa kecuali Engkau.

Al-Azkar

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”

(Surah Ar-Ra’d, 13:28)