Apabila engkau hendak tidur, maka hamparkanlah hamparanmu. Setelah itu, tidurlah dalam keadaan menghadap kiblat serta berbaring di atas lambung kananmu sepertimana berbaringnya orang mati di dalam liang lahadnya.
Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidur itu seumpama mati dan bangkit daripada tidur itu seumpama bangkit daripada kubur pada hari kiamat nanti. Barangkali Allah Taala akan mencabut rohmu di saat tidurmu. Oleh kerana itu, jadilah engkau orang yang bersiap sedia untuk menemui-Nya dengan engkau tidur dalam keadaan suci, wasiatmu tersimpan di bawah bantalmu, engkau tidur dalam keadaan bertaubat memohon ampun daripada segala dosa dan berazam tidak akan kembali kepada maksiat selama-lamanya. Berazamlah untuk melakukan kebaikan kepada seluruh manusia sekiranya Allah Azzawajalla membangkitkanmu.
Ingatlah bahawa sesungguhnya engkau akan dibaringkan di dalam kubur seperti itu juga dalam keadaan keseorangan lagi bersendirian. Ketika itu, tiada sesuatu bersamamu kecuali amalanmu dan engkau tidak dibalas kecuali dengan usahamu.
Janganlah engkau merangsang untuk tidur secara paksa dengan menyiapkan hamparan-hamparan yang empuk kerana tidur itu mensia-siakan kehidupan kecuali apabila jagamu itu merosakkan dirimu. Maka, tidurmu itu lebih selamat bagi agamamu.
Ketahuilah bahawa sesungguhnya sehari semalam itu dua puluh empat jam. Maka janganlah sampai tidurmu di dalam sehari semalam itu melebihi daripada lapan jam. Sekiranya engkau hidup selama enam puluh tahun maka memadailah bagimu bahawa engkau akan mensia-siakan dua puluh tahun daripadanya, iaitu sepertiga daripada umurmu.
Ketika hendak tidur, persiapkanlah kayu sugimu dan air atau tanah untuk bersuci serta berazamlah untuk bangun malam atau bangun sebelum subuh.
Mendirikan solat sunat dua rakaat di tengah malam itu ialah satu perbendaharaan daripada perbendaharaan-perbendaharaan kebaikan. Maka, perbanyakkanlah perbendaharaanmu bagi menghadapi hari kefakiranmu kerana harta benda dunia ini tidak berguna bagimu apabila engkau mati.
Berdoalah ketika hendak tidur:
بِاسْمِكَ رَبِّيْ وَضَعْتُ جَنْبِيْ، وَبِاسْمِكَ أَرْفَعُهُ، فَاغْفِرْ لِيْ ذَنْبِيْ.
Terjemahan: Wahai Tuhanku! Hanya dengan nama-Mu aku letakkan lambungku dan hanya dengan nama-Mu aku akan mengangkatnya, maka ampunilah dosa-dosaku.
اللّٰهُمَّ قِنِيْ عَذَابَكَ يَوْمَ تَبْعَثُ عِبَادَكَ.
Terjemahan: Ya Allah! Peliharalah aku daripada azab-Mu pada hari Engkau membangkitkan para hamba-Mu.
اللّٰهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوْتُ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ ذِيْ شَرٍّ، وَمِنْ كُلِّ دَابَّةٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا، إِنَّ رَبِّيْ عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيْمٍ.
Terjemahan: Ya Allah! Hanya dengan nama-Mu aku hidup dan aku mati. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan setiap yang mempunyai kejahatan dan daripada kejahatan setiap makhluk yang melata di atas muka bumi padahal Engkau ialah Zat yang menguasai ubun-ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus.
أَنْتَ الْأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُوْنَكَ شَيْءٌ، اقْضِ عَنِّي الدَّيْنَ وَأَغْنِنِيْ مِنَ الْفَقْرِ.
Terjemahan: Engkaulah Zat Yang Maha Awal, maka tiada sesuatupun sebelum-Mu. Engkaulah Zat Yang Maha Akhir, maka tiada sesuatupun setelah-Mu. Engkaulah Zat Yang Maha Zahir, maka tiada sesuatupun di atas-Mu. Engkaulah Zat Yang Maha Batin, maka tiada sesuatupun di sebalik-Mu. Lunaskanlah daripadaku segala hutang dan lepaskanlah daku daripada kefakiran.
اللّٰهُمَّ أَنْتَ خَلَقْتَ نَفْسِيْ، وَأَنْتَ تَتَوَفَّاهَا، لَكَ مَمَاتُهَا وَمَحْيَاهَا، إِنْ أَمَتَّهَا فَاغْفِرْ لَهَا، وَإِنْ أَحْيَيْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِيْنَ.
Terjemahan: Ya Allah! Engkaulah yang menciptakan diriku dan Engkaulah yang mematikannya. Hanya Engkau Yang Berhak mematikan dan menghidupkannya. Jika Engkau mematikannya maka ampunilah ia dan jika Engkau menghidupkannya maka peliharalah ia sebagaimana Engkau memelihara para hamba-Mu yang soleh.
اللّٰهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ.
Terjemahan: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kemaafan dan keafiatan.
اللّٰهُمَّ أَيْقِظْنِيْ فِيْ أَحَبِّ السَّاعَاتِ إِلَيْكَ، وَاسْتَعْمِلْنِيْ بِأَحَبِّ الْأَعْمَالِ إِلَيْكَ، لِتُقَرِّبَنِيْ إِلَيْكَ زُلْفَىٰ، وَتُبْعِدَنِيْ مِنْ سَخَطِكَ بُعْدًا، أَسْأَلُكَ فَتُعْطِيْنِيْ، وَأَسْتَغْفِرُكَ فَتَغْفِرُ لِيْ، وَأَدْعُوْكَ فَتَسْتَجِيْبُ لِيْ
Terjemahan: Ya Allah! Bangunkanlah aku pada waktu yang paling Engkau sukai, pergunakanlah diriku pada sebaik-baik amalan di sisi-Mu agar Engkau mendekatkan daku di sisi-Mu sedekat-dekatnya dan menjauhkan daku daripada kemurkaan-Mu sejauh-jauhnya. Aku memohon kepada-Mu maka kurniakanlah kepadaku. Aku memohon ampun kepada-Mu maka ampunilah daku. Aku memohon kepada-Mu maka kabulkanlah bagiku.
Kemudian bacalah ayat al-Kursi, (ءَامَنَ ٱلرَّسُولُ) sehingga akhir surah al-Baqarah, surah al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas dan al-Mulk.
Biarlah tidur itu menguasaimu dalam keadaan engkau berzikir kepada Allah Taala dan dalam keadaan suci. Maka barangsiapa yang melakukan perkara tersebut nescaya rohnya akan dinaikkan ke Arasy dan ia ditulis sebagai orang yang bersolat sehingga ia bangun.
Apabila engkau bangun daripada tidur, maka ulangilah perkara-perkara yang engkau telah ketahui sebelum ini dan hendaklah engkau melazimkan tertib amalan ini sehingga akhir usiamu.
Jika berat bagimu untuk melazimi amalan-amalan tersebut, maka bersabarlah seperti sabarnya orang sakit atas kepahitan ubat kerana mengharapkan kesembuhan serta renungkanlah pada singkatnya usiamu sekalipun engkau hidup seratus tahun. Hal ini demikian kerana usia itu masih sangat singkat jika dibandingkan dengan kehidupanmu di negeri akhirat padahal akhirat itu kekal abadi.
Renungkanlah betapa engkau sanggup menahan kesusahan dan kehinaan dalam mencari dunia selama sebulan atau setahun kerana berharap dapat beristirehat dengan kenikmatan tersebut selama dua puluh tahun misalnya! Maka, betapa engkau tidak sanggup menahan kepayahan tersebut dalam masa yang sebentar di dunia ini demi mengharapkan kerehatan selama-lamanya!
Janganlah engkau panjangkan angan-anganmu kerana ia akan menjadikan engkau berasa malas untuk berbuat ibadat. Tetapi, hendaklah engkau fikirkan bahawa kematianmu itu sangat dekat sekali kepadamu dan katakanlah di dalam hatimu: “Sesungguhnya aku menanggung kepayahan hari ini dengan melakukan ketaatan kerana boleh jadi aku akan mati pada malam nanti dan aku bersabar atas kepayahan malam ini dengan melakukan ibadat kerana mungkin aku akan mati pada esok hari. Hal ini demikian kerana sesungguhnya mati itu tidak datang pada masa tertentu, umur tertentu dan dalam keadaan tertentu.
Padahal, mati itu pasti akan datang. Oleh yang demikian, persediaan untuk kematian itu lebih utama daripada persediaan untuk dunia padahal engkau sedar bahawa sememangnya engkau tidak akan kekal di dalamnya kecuali sebentar. Barangkali ajalmu hanya tinggal senafas, sejam atau sehari.”
Maka, fikirkanlah tentangnya di dalam hatimu setiap hari dan paksakanlah nafsumu itu bersabar di atas mentaati Allah Taala hari demi hari. Hal ini demikian kerana jikalau engkau andaikan bahawa engkau hidup selama 50 tahun dalam keadaan engkau telah memaksa nafsumu bersabar di atas mentaati Allah Taala di dalam tempoh tersebut, maka nescaya nafsu tersebut berputus asa dan sulit untuk menguasaimu.
Maka jika engkau lakukan yang demikian itu, nescaya engkau akan bergembira ketika mati nanti dengan kegembiraan yang tiada kesudahan. Sekiranya engkau bertangguh dan bermalas-malas dalam mengerjakan ketaatan, tiba-tiba kematian datang pada saat engkau tidak menduga, ketika itu engkau akan menyesal dengan penyesalan yang tiada pengakhiran.
Di waktu pagi, orang akan memuji orang yang berjalan di malam hari dan ketika mati akan datang kepadamu khabar yang pasti. Demi sesungguhnya, kamu akan mengetahui kebenaran perkara-perkara yang diterangkannya, tidak lama lagi.
Setelah kami tunjukkan kepadamu susunan wirid-wirid, maka kami akan sebutkan pula kaifiat solat, puasa serta adab-adab kedua-duanya, adab-adab imam, makmum dan solat jumaat.