MENCUKUR RAMBUT BAYI: HUKUM, DALIL DAN TATACARA
Hukum dan Dalil
Mencukur rambut bayi yang baru dilahirkan adalah sunat muakkad dan digalakkan dilakukan pada hari ketujuh kelahiran. Selain mencukur, rambut tersebut juga ditimbang dan nilai peraknya disedekahkan kepada fakir miskin sebagai tanda syukur dan semangat berkongsi rezeki.
Dalil daripada hadis Rasulullah SAW:
زِنُوا شَعْرَ الْحُسَيْنِ وَتَصَدَّقِي بِزِنَتِهِ فِضَّةً وَاعْمَلِي الْعَقِيقَةَ بِحَلْقِ الرَّأْسِ
“Timbanglah rambut (cucuku) al-Husain dan sedekahkanlah dengan kadar timbangan itu dengan perak, serta berilah kepada bidan itu kaki binatang aqiqah tersebut.” (Riwayat al-Hakim, no. 4828 dan al-Baihaqi, no. 19776)
Hikmah Mencukur Rambut:
- Menunjukkan kesyukuran kepada Allah SWT atas kelahiran anak.
- Menggalakkan amalan sedekah dalam kalangan masyarakat Islam.
- Dari sudut kesihatan, ia membantu membersihkan kulit kepala bayi dan merangsang pertumbuhan rambut baharu.
Tatacara Mencukur Rambut Anak:
- Sediakan satu bekas berisi air bersih.
- Basahkan kepala bayi secara perlahan-lahan dan sapukan syampu bayi jika perlu.
- Gunakan pisau cukur yang baru, bersih dan tajam bagi mengelakkan kecederaan.
- Cukur rambut secara perlahan-lahan, bermula dari bahagian depan ke belakang.
- Celupkan pisau cukur ke dalam bekas air setiap kali selepas mencukur sedikit rambut.
- Setelah selesai, kepala bayi sapukan sedikit bedak sejuk atau minyak bayi jika sesuai.
- Tapis air dan rambut dalam bekas dengan menggunakan penapis bersih.
- Biarkan rambut kering dahulu, kemudian timbang di tempat bersih dan teduh.
- Setelah selesai, rambut boleh disimpan dalam bekas khas atau ditanam dan nilai rambut itu disedekahkan dalam bentuk perak atau wang kepada fakir miskin.