Konsep dan Hukum Penyembelihan Haiwan dalam Al-Quran
Salah satu keistimewaan dan keindahan dalam agama Islam adalah penyembelihan haiwan yang dilakukan dengan penuh etika dan ketakwaan. Hikmah sembelihan dalam Islam adalah untuk memastikan bahawa daging yang dimakan oleh umat Islam adalah bersih, suci dan bebas daripada sebarang penyakit yang boleh memudaratkan kesihatan. Melalui pelaksanaan sembelihan haiwan yang halal, umat Islam bukan sekadar mematuhi perintah Allah SWT tetapi juga menjaga kesihatan, kebersihan dan kesejahteraan fizikal serta rohani. Oleh itu, setiap Muslim harus mengambil tahu tentang hukum penyembelihan haiwan agar daging yang dimakan adalah mengikut tatacara penyembelihan yang halal.
Definisi Sembelihan
Sembelihan merujuk kepada haiwan yang disembelih mengikut cara yang ditetapkan oleh syarak. Penyembelihan ini merujuk kepada pemotongan salur pernafasan (halqum) dan esofagus (ma‘i atau saluran makanan) atau melakukan haiwan yang tidak dapat dikawal dengan menyembelihnya di mana-mana bahagian tubuh.
Kaedah Penyembelihan
Kaedah penyembelihan boleh dibahagikan kepada tiga cara:
- Zabh (sembelihan biasa): Kaedah ini melibatkan pemotongan halqum haiwan dengan syarat-syarat tertentu.
- Nahr (penyembelihan untuk unta): Kaedah ini melibatkan pemotongan di bahagian bawah leher haiwan dan inilah cara penyembelihan yang disunatkan untuk unta.
- Aqr (melukai haiwan): Kaedah ini digunakan untuk membunuh haiwan yang tidak dapat dikawal, seperti binatang liar atau haiwan ternakan dengan melukakannya di mana-mana bahagian tubuh selain halqum dan leher haiwan. Ini berdasarkan kepada sebuah hadis apabila Rafi’ berkata:
“Seekor unta liar lari, maka seorang lelaki menikamnya dengan anak panah hingga unta itu berhenti.”
Lalu Rasulullah bersabda: “Apa yang liar kepada kamu, maka lakukanlah seperti ini.”
(Hadis. Sahih al-Bukhari)
Hukum Penyembelihan
Hukum menyembelih haiwan yang mampu dikawal adalah wajib. Oleh itu, haiwan yang disyariatkan untuk disembelih namun tidak disembelih dengan sengaja adalah tidak halal sebagaimana yang dipersetujui oleh para ulama. Ini berdasarkan firman Allah SWT: “Diharamkan ke atas kamu bangkai”
(Al-Quran, Surah al-Ma’idah: 4:3).
Berdasarkan ayat ini, haiwan yang tidak disembelih dianggap sebagai bangkai kecuali ikan, belalang dan semua yang hanya hidup di dalam air, yang halal dimakan tanpa penyembelihan.
Syarat Sah Penyembelihan
Syarat-syarat sah penyembelihan terbahagi kepada tiga (3) bahagian iaitu:
- Syarat yang berkaitan dengan penyembelih.
- Syarat yang berkaitan dengan haiwan yang disembelih.
- Syarat yang berkaitan dengan alat penyembelihan.
Pertama: Syarat yang berkaitan dengan penyembelih:
- Penyembelih mestilah seorang Muslim yang berakal dan sudah mumayyiz, tidak kira sama ada lelaki atau perempuan. Ini menunjukkan bahawa sembelihan orang kafir selain Ahli Kitab serta orang gila, orang mabuk dan kanak-kanak yang belum mumayyiz adalah tidak halal.
- Penyembelihan haiwan tersebut mesti dilakukan untuk Allah SWT dan menyebut nama-Nya. Ini menunjukkan bahawa penyembelihan haiwan yang dilakukan untuk berhala atau sesiapa pun selain Allah SWT adalah tidak halal.
- Jika kedua-dua syarat ini dipenuhi oleh penyembelih maka sembelihannya adalah halal, tanpa mengira status atau jantina penyembelih itu lelaki atau perempuan, dewasa atau kanak-kanak, merdeka atau hamba.
Kedua: Syarat yang berkaitan dengan haiwan yang disembelih:
- Penyembelihan mesti memotong halqum, mari, dan dua (2) urat darah utama (wudjan) yang mengalirkan darah. Halqum adalah saluran pernafasan, mari adalah saluran makanan dan wudjan adalah dua urat darah utama.
Perbuatan ini adalah berdasarkan kepada hadis Rafi’ bin Khadij yang berkata, Rasulullah bersabda: “Apa yang menumpahkan darah dan disebut nama Allah SWT atasnya, maka makanlah, kecuali gigi dan kuku.” Ini menunjukkan bahawa syarat sembelihan adalah mengalirkan darah dengan memotong bahagian yang disebutkan kerana bahagian tersebut mempercepatkan aliran darah dan kematian haiwan. Ia menjadikan dagingnya lebih baik dan prosesnya lebih ringan serta mudah untuk haiwan tersebut.
Jika haiwan tersebut tercekik, dipukul, jatuh dari tempat tinggi, ditanduk atau diterkam binatang buas atau sakit, atau terperangkap dalam jerat, atau diselamatkan daripada bahaya dan masih hidup dengan tanda-tanda kehidupan seperti menggerakkan tangan, kaki atau mata, kemudian ia disembelih, maka ia halal.
- Menyebut nama Allah SWT: Nama Allah SWT mesti disebut ketika penyembelihan. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah SWT ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa).” (Al-Quran. Surah al-An’am 5:121)
Ketiga: Syarat yang berkaitan dengan alat penyembelihan:
Alat penyembelihan mesti tajam dan mampu melukai dengan tajamnya seperti besi, tembaga, batu, dan lain-lain yang boleh memotong halqum dan mengalirkan darah kecuali gigi dan kuku ini adalah berdasarkan kepada hadis Rafi’ bin Khadij yang berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Apa yang menumpahkan darah dan disebut nama Allah SWT atasnya, maka makanlah, kecuali gigi dan kuku.”
Semua jenis tulang, sama ada daripada manusia atau haiwan lain, termasuk dalam larangan ini. Larangan menyembelih dengan tulang kerana ia akan ternajis dengan darah dan Nabi SAW melarang menjadikan tulang kerana ia adalah makanan dalam kalangan jin. Adapun larangan menggunakan kuku adalah kerana ia meniru perbuatan orang kafir.
Adab Penyembelihan:
Pelaksanaan penyembelihan mempunyai adab-adab yang perlu dipatuhi oleh penyembelih, antaranya adalah:
- Menajamkan pisau
Penyembelih hendaklah menajamkan pisaunya sebelum penyembelihan. Berdasarkan hadis daripada Syaddad bin Aus bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT mewajibkan ihsan dalam segala perkara. Apabila kamu membunuh, maka bunuhlah dengan baik, dan apabila kamu menyembelih, maka sembelihlah dengan baik. Hendaklah salah seorang kamu menajamkan pisaunya dan menenangkan sembelihannya.” - Membaringkan haiwan di sisi kiri
Haiwan hendaklah dibaringkan di sisi kirinya dan biarkan kaki kanannya bergerak setelah disembelih untuk memberikan keselesaan. Ini berdasarkan hadis Syaddad bin Aus yang disebutkan sebelumnya dan hadis Abu Khair, apabila seorang lelaki dalam kalangan Ansar menceritakan bahawa Rasulullah membaringkan haiwan sembelihannya dan berkata kepada lelaki tersebut: “Bantu aku dengan sembelihanku,” lalu lelaki itu membantu Baginda.3.Menyembelih unta dalam keadaan berdiri dengan kaki kirinya terikat
Unta hendaklah disembelih dengan menikam lehernya (nahr) dalam keadaan berdiri dengan kaki kirinya terikat. Perbuatan ini berdasarkan kata-kata Ibn Umar. Ibn Umar melihat seorang lelaki menundukkan untanya untuk disembelih, lalu beliau berkata: “Biarkan ia berdiri dalam keadaan terikat, itulah sunnah Nabi Muhammad.”
4.Menyembelih haiwan selain unta
Haiwan selain unta hendaklah disembelih dengan memotong halqum dan ma‘ri. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah SWT menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina.” (Al-Quran. Surah al-Baqarah 2:67).
⸻
Rasional
Mempelajari hukum penyembelihan haiwan amat penting kerana ia melibatkan isu halal haram yang sangat dititikberatkan dalam pemakanan umat Islam. Pelajar dan graduan USIM sering kali menjadi rujukan dalam pelbagai urusan seperti sembelihan harian, korban dan akikah. Tidak kurang juga graduan USIM yang diberi kepercayaan oleh masyarakat untuk menyembelih haiwan korban mereka. Oleh itu, kefahaman yang mendalam tentang rukun, syarat dan adab penyembelihan menurut syarak sangat diperlukan agar pelaksanaan ibadah tersebut sah, sempurna dan menepati tuntutan agama.