Sertu ialah proses menyucikan sesuatu yang terkena najis mughallazah iaitu najis berat seperti anjing, babi dan keturunannya menurut syarak. Ini termasuklah air liur, peluh atau sentuhan secara basah dari haiwan-haiwan tersebut.
Hukum dan Kaedah Sertu
Mengikut pandangan Mazhab Syafi‘i, sesuatu yang terkena najis mughallazah wajib disertu, iaitu:
- Disucikan sebanyak tujuh (7) kali basuhan.
- Satu daripada tujuh (7) basuhan tersebut mestilah menggunakan air bercampur tanah (turab).
- Baki enam (6) kali hendaklah menggunakan air mutlak yang bersih.
Prosedur Sertu:
- Basuhan pertama menggunakan air yang bercampur tanah (tanah bersih dan tidak bercampur najis).
- Enam (6) basuhan berikutnya dilakukan dengan air mutlak sehingga hilang bau, rasa dan warna najis (jika ada).
- Disunatkan menggunakan tangan kanan dan dimulakan dari bahagian yang terkena najis.
Jenis Tanah untuk Kaedah Sertu
- Tidak mengandungi unsur najis – Tanah mestilah suci dan tidak bercampur dengan najis seperti najis manusia, haiwan atau seumpamanya.
- Bebas daripada sebarang kotoran seperti minyak – Tanah hendaklah bersih daripada bahan asing yang boleh mengubah sifat semula jadinya seperti minyak, bahan kimia atau sisa buangan.
- Bukan tanah yang telah digunakan untuk tayammum (mustakmal) – Tanah yang telah digunakan bagi ibadah tayammum tidak sah digunakan untuk sertu kerana tidak lagi dianggap suci bagi tujuan menyucikan najis mughallazah.
Jenis Air untuk Kaedah Sertu
- Air mutlak – Air yang suci lagi menyucikan seperti air hujan, air paip, air sungai, air laut atau air perigi.
- Bukan air mustakmal – Air yang telah digunakan untuk bersuci tidak sah digunakan semula untuk sertu.
- Tidak tercemar dengan najis – Air hendaklah bebas daripada sebarang unsur najis dari segi bau, warna dan rasa.
Tatacara Melakukan Sertu Mengikut Syarak
Terdapat dua kaedah utama untuk menyucikan najis mughallazah (anjing, babi dan keturunannya) mengikut syarak:
- Menggunakan tanah.
- Menggunakan sabun tanah liat (yang diyakini mengandungi unsur tanah yang suci dan sah mengikut syarak).
Tatacara Sertu Premis dan Barang Gunaan dengan Menggunakan Tanah
Apabila sesuatu permukaan, pakaian atau peralatan terkena najis mughallazah dalam keadaan basah, maka proses sertu hendaklah dilakukan mengikut langkah-langkah berikut:
Langkah pertama:
Hilangkan najis ‘ain (bendanya) terlebih dahulu sehingga tidak lagi kelihatan secara zahir dengan mata kasar.
Langkah kedua:
Sediakan air bercampur tanah dengan mencampurkan sedikit tanah suci ke dalam air mutlak sehingga air berubah warna kepada warna tanah.
Langkah ketiga:
Lakukan basuhan pertama menggunakan air bercampur tanah, pastikan tempat atau objek yang terkena najis diratakan sepenuhnya dengan air tersebut.
Langkah keempat:
Basuh sebanyak enam (6) kali lagi dengan air mutlak (air bersih tanpa campuran tanah), menjadikan jumlah keseluruhan tujuh (7) kali basuhan.
Langkah kelima:
Pada basuhan kedua atau ketiga, boleh dicampurkan agen pencuci yang suci seperti sabun dan pewangi boleh digunakan pada basuhan terakhir untuk tujuan kebersihan dan keselesaan terutamanya bagi permukaan seperti sofa atau pakaian.
Rasional
Mempelajari dan mempraktikkan hukum sertu amat penting bagi pelajar USIM kerana ia melibatkan proses penyucian najis mughallazah yang sering berlaku di premis makanan, perniagaan dan tempat awam. Perkhidmatan ini sangat diperlukan, namun tidak ramai yang mahir dan diyakini oleh masyarakat. Justeru, pelajar atau graduan USIM yang menguruskan kaedah sertu mampu memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada masyarakat terhadap proses pembersihan yang dilakukan. Oleh itu, pelajar USIM wajar mengambil peluang mempelajari ilmu sertu dengan betul dan menawarkan perkhidmatan ini secara profesional kepada masyarakat.