Darah Istihadhah

1.Definisi

Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar bukan pada waktu haid atau nifas. Ia berpunca daripada urat yang dinamakan al-‘Azail yang terletak di bawah rahim, berbeza daripada darah haid yang keluar dari rahim.

2.Contoh dan Kaedah Penentuan

Contoh: Seorang wanita berumur 45 tahun mengalami pendarahan 10 hari, kemudian 15 hari lagi sedikit-sedikit, berhenti seminggu, dan kemudian keluar semula selama 5 hari.

a. Kaedah 1 (Ada kebiasaan haid tetap)

Jika kebiasaan haidnya 7 hari, maka baki 3 hari (dari 10 hari) dan 15 hari seterusnya dianggap istihadhah. Dia wajib solat dan puasa seperti biasa. Selepas seminggu berhenti, darah yang keluar selama 5 hari dianggap haid baru kerana cukup syarat jarak minimum antara dua (2) haid ialah 15 hari.

b. Kaedah 2 (Tiada kebiasaan, tetapi dapat beza warna)

Jika haid tidak tetap tetapi mampu membezakan sifat darah (warna, bau, kepekatan), maka darah yang seperti darah haid dianggap haid dan selebihnya adalah istihadhah.

c. Kaedah 3 (Tiada kebiasaan & tak dapat beza warna)

Jika haid tidak tetap dan tidak dapat membezakan warna, maka diambil kira kebiasaan wanita normal iaitu 6 atau 7 hari sebagai haid, selebihnya dianggap istihadhah. Kaedah ini juga digunakan bagi menentukan waktu puasa dan ibadah lain.

3.Perlu Memerhati Warna dan Sifat Darah

Warna darah seperti hitam, merah gelap, coklat pekat dan berbau hanyir dianggap darah haid. Warna kekuningan, kelabu, cair atau tidak berbau adalah darah istihadhah. Pemerhatian ini membantu menentukan tempoh haid dan tempoh istihadhah.

4.Hukum Wanita Istihadhah

Darah istihadhah tidak mengharamkan solat atau puasa dan tidak mewajibkan mandi wajib. Ia hanya membatalkan wuduk seperti najis biasa.

5.Tata Cara Wanita Istihadhah untuk Solat

a. Pastikan waktu solat telah masuk.

b. Basuh kawasan yang terkena darah yang keluar.

c. Gunakan kapas atau tuala wanita untuk menyerap darah.

d. Berwuduk untuk setiap solat fardu.

e. Solat sunat selepas itu dibolehkan dengan wuduk yang sama selama darah masih berterusan tanpa henti.

Al-Azkar

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”

(Surah Ar-Ra’d, 13:28)