Menziarahi Orang Yang Sakit

MENZIARAHI ORANG YANG SAKIT

Islam sangat menitikberatkan nilai ukhuwah dan kasih sayang sesama manusia serta menggalakkan umatnya untuk menunaikan hak-hak sosial antara satu sama lain. Salah satu cara menjaga hubungan ini ialah dengan menziarahi orang yang sedang sakit sama ada dalam kalangan ahli keluarga, sahabat mahupun jiran tetangga. Ziarah ini bukan sahaja memberi sokongan moral kepada pesakit tetapi juga membuka ruang untuk mendoakan kesembuhan dan mempererat silaturahim.

Hukum Menziarahi Orang Sakit

Hukum menziarahi orang sakit adalah sunat muakkad, iaitu sunat yang sangat dituntut dalam Islam. Amalan ini termasuk dalam hak-hak asas yang perlu ditunaikan oleh seorang Muslim terhadap saudaranya.

Dalil Pensyariatan Menziarahi Orang Sakit

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Hak Muslim ke atas Muslim yang lain ada enam (6) perkara.” Para sahabat bertanya, “Apakah ia wahai Rasulullah?” Baginda SAW bersabda:

“Apabila kamu bertemu dengannya, ucapkanlah salam. Apabila dia menjemputmu, penuhilah jemputannya. Apabila dia meminta nasihat, berilah nasihat kepadanya. Apabila dia bersin lalu memuji Allah, jawablah dengan doa. Apabila dia sakit, ziarahilah dia. Dan apabila dia meninggal dunia, iringilah jenazahnya.” (Riwayat Muslim, no. 2162)

Adab Menziarahi Orang yang Sakit

  1. Memilih waktu yang sesuai untuk ziarah.
  2. Tidak berlama-lama dalam ziarah.
  3. Menundukkan pandangan daripada perkara yang dilarang.
  4. Tidak banyak bertanya atau berbicara.
  5. Menzahirkan keprihatinan dan empati.
  6. Memberi kata-kata yang menenangkan.
  7. Mendoakan kesembuhan pesakit, seperti sabda: لَا بَأْسَ طَهُورٌ إِنْ شَاءَ اللّٰهُ
  8. Tidak membawa bersama minyak wangi berlebihan.
  9. Tidak menyentuh isu-isu sensitif berkaitan pesakit.
  10. Mematuhi adab berpakaian dan sopan santun semasa ziarah.

Al-Azkar

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”

(Surah Ar-Ra’d, 13:28)