PENGERTIAN IDDAH
‘Iddah ialah tempoh tertentu yang telah ditetapkan oleh syarak ke atas seorang wanita selepas diceraikan suami atau selepas kematian suami. Ia bagi tujuan menjaga kemuliaan diri, memastikan kekosongan rahim (jika ada kehamilan), dan sebagai penghormatan kepada perkahwinan yang telah dibina.
Dalil dan tempoh ‘Iddah bagi wanita yang diceraikan dan kematian suami
Dalam Islam, ‘iddah adalah tempoh yang ditetapkan oleh syarak kepada wanita selepas perceraian atau kematian suami. Ia bertujuan untuk memastikan kejelasan nasab, memberi ruang untuk muhasabah diri dan sebagai tanda penghormatan kepada ikatan perkahwinan yang telah terbina.
Wanita yang Diceraikan (Talak Raj‘ie atau Ba’in)
a. Wanita yang masih haid dan telah disetubuhi
Tempoh ‘iddah: Tiga (3) kali suci (3 quru’)
Dalil:
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ
“Dan perempuan-perempuan yang diceraikan hendaklah menunggu (ber‘iddah) selama tiga kali suci.” (Surah al-Baqarah: 228)
b. Wanita yang hamil
Tempoh ‘iddah: Sehingga melahirkan anak
Dalil:
وَأُولَاتُ الْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ
“Dan perempuan-perempuan yang hamil, tempoh ‘iddah mereka ialah sehingga mereka melahirkan kandungan mereka.” (Surah at-Talaq: 4)
c. Wanita yang belum disentuh (belum berlaku persetubuhan)
Tempoh ‘iddah: Tiada ‘iddah
Dalil:
فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا
“…Maka tiadalah atas mereka ‘iddah yang perlu kamu kira.” (Surah al-Ahzab: 49)
- Wanita yang kematian suami
a. Tidak hamil
Tempoh ‘iddah: Empat (4) bulan sepuluh hari
Dalil:
وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا
“Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dan meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka (isteri-isteri itu) menunggu (‘iddah) selama empat (4) bulan sepuluh hari.” (Surah al-Baqarah: 234)
b. Jika hamil
Tempoh ‘iddah: Sehingga melahirkan anak (walaupun kurang daripada empat (4) bulan sepuluh hari)
Dalil:
وَأُولَاتُ الْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ
“Dan perempuan-perempuan yang hamil, tempoh ‘iddah mereka ialah sehingga mereka melahirkan kandungan mereka.” (Surah at-Talaq: 4)
Hikmah Pensyariatan ‘Iddah
Pensyariatan ‘iddah kepada wanita Islam mengandungi pelbagai hikmah dari sudut syarak, sosial dan psikologi. Ia bukan semata-mata kewajipan tetapi merupakan bentuk penjagaan dan penghormatan kepada wanita serta institusi perkahwinan. Antara hikmahnya ialah:
- Menjaga kejelasan nasab dan keturunan.
Tujuan utama ‘iddah ialah untuk memastikan rahim wanita kosong daripada benih suami terdahulu, agar tidak berlaku kekeliruan nasab sekiranya wanita itu berkahwin semula dalam tempoh terdekat. Hal ini adalah selaras dengan Maqasid Syariah dalam menjaga keturunan (hifz al-nasab). - Memberi ruang muhasabah dalam Talak Raj‘ie.
Tempoh ‘iddah berfungsi sebagai masa untuk berfikir, menilai dan memperbaiki hubungan antara suami dan isteri. Dalam kes Talak Raj‘ie, suami masih mempunyai peluang untuk merujuk isterinya tanpa akad baru, sekiranya mereka menyedari kesilapan dan ingin menyelamatkan rumah tangga. - Tempoh berkabung atas kematian suami.
Bagi wanita yang kematian suami, ‘iddah selama empat (4) bulan sepuluh hari adalah waktu untuk berkabung dengan tenang sebagai tanda kesetiaan dan penghormatan kepada suami yang telah meninggal serta ruang untuk menyesuaikan diri dengan fasa kehidupan yang baru. - Menjaga maruah dan kestabilan emosi wanita.
Tempoh ‘iddah dapat mengelakkan wanita tergesa-gesa berkahwin semula yang mungkin dilakukan dalam keadaan emosi yang tidak stabil. Ia juga melindungi wanita daripada fitnah, serta memberi masa untuk menerima sokongan keluarga dan masyarakat.
Jadual Tempoh Iddah bagi Wanita
| Situasi | Tempoh Iddah |
| Haid | Tiga (3) kali suci dari haid |
| Tiada Haid | Tiga (3) kali suci dari haid |
| Tiada Haid | Tiga (3) kali suci dari haid |
| Bercerai Talak Raj’ie sedang mengandung | Tiga (3) kali suci dari haid |
| Bercerai Talak Raj’ie belum disetubuhi | Tiga (3) kali suci dari haid |
| Bercerai Talak Raj’ie istihadhah | Haid menentu: tiga kali suci; Haid tidak menentu: tiga (3) bulan |
| Kematian suami | Empat (4) bulan sepuluh hari |
| Bercerai Talak Raj’ie belum disetubuhi | Tiada ‘Iddah |
| Bercerai Talak Raj’ie dan suami meninggal | Empat (4) bulan sepuluh hari |
| Kematian suami sewaktu mengandung | Empat (4) bulan sepuluh hari |
| Suami Hilang | Empat (4) tahun |
Rasional
Mempelajari hukum ihdad dan ‘iddah amat penting kerana ia melibatkan kefahaman terhadap hak-hak dan kewajipan wanita selepas kematian suami atau perceraian yang sering menjadi persoalan dalam masyarakat. Sebagai pelajar atau graduan USIM yang berpendidikan agama, mereka perlu bersedia menjelaskan hukum ini dengan tepat apabila dirujuk oleh ahli keluarga atau komuniti setempat. Selain itu, ilmu ini juga penting dalam konteks fiqh wanita dan pentadbiran kekeluargaan Islam yang menjadi sebahagian daripada asas dalam pendidikan Islam.