Adab Berwudhu’

Apabila engkau telah selesai daripada berinstinjak, janganlah engkau meninggalkan bersugi kerana bahawa sesungguhnya bersugi itu dapat membersihkan mulut, mendatangkan keredaan Tuhan dan menyebabkan kemarahan syaitan.

Satu solat yang didirikan dengan bersugi itu lebih afdal daripada 70 solat tanpa bersugi.

Kemudian, duduklah untuk berwuduk dalam keadaan mengadap kiblat di atas tempat yang tinggi supaya engkau tidak terkena percikan air dan ucapkanlah:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَــٰنِ الرَّحِيْمِ، رَبِّ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِيْنِ، وَأَعُوْذُ بِكَ رَبِّ أَنْ يَحْضُرُوْنَ

Terjemahan: Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Wahai Tuhanku! Aku berlindung dengan-Mu daripada hasutan syaitan-syaitan dan aku berlindung dengan-Mu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.

Kemudian, basuhlah kedua-dua tanganmu sebanyak tiga kali sebelum engkau memasukkannya ke dalam bekas dan ucapkanlah:

اللّٰهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْيُمْنَ وَالْبَرَكَةَ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشُّؤْمِ وَالْهَلَكَةِ

Terjemahan: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keuntungan dan keberkatan dan aku berlindung dengan-Mu daripada kesialan dan kebinasaan.

Setelah itu, berniatlah “mengangkat hadas” atau “mengharuskan solat”.

Tidak sepatutnya niatmu itu hilang sebelum membasuh muka. Jika niat tersebut hilang sebelum membasuh muka, maka tidak sah wudukmu.

Kemudian, ambillah satu cedokan air untuk mulutmu serta berkumur-kumurlah dengannya sebanyak tiga kali dan hendaklah engkau melebih-lebihkan pada menyampaikan air ke pangkal kerongkong melainkan engkau berpuasa dan ucapkanlah:

اللّٰهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَىٰ تِلَاوَةِ كِتَابِكَ وَكَثْرَةِ الذِّكْرِ لَكَ، وَثَبِّتْنِيْ بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ

Terjemahan: Ya Allah! Bantulah aku untuk membaca kitab-Mu dan banyak berzikir kepada-Mu. Ya Allah! Tetapkanlah daku dengan perkataan yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Kemudian, ambillah satu cedokan air untuk hidungmu dan masukkanlah air itu ke dalamnya sebanyak tiga kali lalu hembuskanlah apa-apa yang ada di dalam hidungmu seperti lembapan dan ucapkanlah ketika engkau menyedut air ke hidung:

اللّٰهُمَّ أَرِحْنِيْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ وَأَنْتَ عَنِّيْ رَاضٍ

Terjemahan: Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku bauan syurga sedangkan Engkau reda kepadaku.

Ucapkanlah pula ketika engkau menghembuskan air keluar dari hidung:

اللّٰهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ رَوَائِحِ النَّارِ وَمِنْ سُوْءِ الدَّارِ

Terjemahan: Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada bau-bau neraka dan daripada tempat tinggal yang buruk.

Kemudian, ambillah satu cedokan air untuk mukamu lalu basuhlah dari permulaan luas dahimu hingga ke penghujung bahagian hadapan dagumu. Ini adalah dari sudut panjang. Manakala pada sudut lebarnya pula, dari telinga ke telinga. Sampaikanlah air ke kawasan al-taḥdhīf; iaitu kawasan yang menjadi kebiasaan golongan wanita mencukurnya. Kawasan itu terletak di antara atas telinga dan pelipis. Perkara yang aku maksudkan itu ialah apa-apa yang terletak di kawasan muka. Sampaikanlah air ke tempat tumbuh empat macam bulu: dua bulu kening, misai, bulu mata dan al-‘idhārān; iaitu bulu yang tumbuh setentang dengan kedua-dua telinga daripada tempat permulaan janggut.

Wajib menyampaikan air hingga ke tempat tumbuh janggut yang nipis, tidak wajib bagi janggut yang tebal.

Ucapkanlah ketika membasuh muka:

اللّٰهُمَّ بَيِّضْ وَجْهِيْ بِنُوْرِكَ يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوْهُ أَوْلِيَائِكَ، وَلَا تُسَوِّدْ وَجْهِيْ بِظُلُمَاتِكَ يَوْمَ تَسْوَدُّ وُجُوْهُ أَعْدَائِكَ

Terjemahan: Ya Allah! Putihkanlah mukaku dengan nur-Mu pada hari yang menjadi putih muka aulia-Mu dan janganlah Engkau hitamkan mukaku dengan kegelapan-Mu pada hari menjadi hitam muka musuh-musuh-Mu.

Janganlah engkau meninggalkan menyelati janggut yang tebal.

Setelah itu, basuhlah tangan kananmu kemudian tangan kirimu sebanyak tiga kali beserta kedua-dua siku hingga pertengahan lengan kerana bahawa sesungguhnya perhiasan di dalam syurga itu dipakai sehingga sampai ke kawasan anggota wuduk dan ucapkanlah ketika membasuh tangan kananmu:

اللّٰهُمَّ أَعْطِنِيْ كِتَابِيْ بِيَمِيْنِيْ وَحَاسِبْنِيْ حِسَابًا يَسِيْرًا

Terjemahan: Ya Allah! Berikanlah kepadaku buku catatan amalanku di tangan kananku dan hisablah aku dengan hisab yang mudah.

Ucapkanlah ketika engkau membasuh tangan kirimu:

اللّٰهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ أَنْ تُعْطِيَنِيْ كِتَابِيْ بِشِمَالِيْ أَوْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِيْ

Terjemahan: Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada Engkau berikan kepadaku buku catatan amalanku di tangan kiriku atau Engkau berikan kepadaku dari sebelah belakangku.

Kemudian, ratakanlah kepalamu secara menyapu dengan engkau membasahkan kedua-dua tanganmu, rapatkanlah hujung jari kedua-dua tangan kanan dan kirimu, letakkanlah kedua-duanya di atas bahagian hadapan kepala, lalukan kedua-dua tanganmu itu ke bahagian hujung lehermu sebelah atas lalu kembalikan semula kedua-dua tanganmu itu ke bahagian hadapan kepalamu. Semua perbuatan ini dikira sekali, lakukanlah sebanyak tiga kali. Lakukanlah basuhan sebanyak tiga kali itu pada anggota wuduk yang lain dan ucapkanlah ketika menyapu kepala itu:

اللّٰهُمَّ غَشِّنِيْ بِرَحْمَتِكَ، وَأَنْزِلْ عَلَيَّ مِنْ بَرَكَاتِكَ، وَأَظِلَّنِيْ تَحْتَ ظِلِّ عَرْشِكَ، يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّكَ.

اللّٰهُمَّ حَرِّمْ شَعَرِيْ وَبَشَرِيْ عَلَى النَّارِ

Terjemahan: Ya Allah! Liputilah daku dengan rahmat-Mu, turunkanlah kepadaku berkat-Mu dan naungilah aku di bawah naungan Arasy-Mu pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Mu.

Ya Allah! Haramkanlah rambutku dan kulitku atas api neraka.  

Kemudian, sapulah kedua-dua telingamu pada bahagian luar dan dalam dengan air yang baharu. Masukkanlah kedua-dua jari telunjukmu ke dalam dua lubang telingamu dan sapulah bahagian luar telingamu dengan kedua-dua perut ibu jarimu dan ucapkanlah:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْنِيْ مِنَ الَّذِيْنَ يَسْتَمِعُوْنَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُوْنَ أَحْسَنَهُ.

 اللّٰهُمَّ أَسْمِعْنِيْ مُنَادِيَ الْجَنَّةِ مَعَ الْأَبْرَارِ

Terjemahan: Ya Allah! Jadikanlah aku daripada hamba-Mu yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepada mereka lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya.

Ya Allah! Perdengarkanlah daku suara pemanggil syurga bersama dengan orang-orang yang berbakti.

Kemudian sapulah tengkukmu dan ucaplah:

اللّٰهُمَّ فُكَّ رَقَبَتِيْ مِنَ النَّارِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ السَّلَاسِلِ وَالْأَغْلَالِ

Terjemahan: Ya Allah! Bebaskanlah tengkukku daripada api neraka dan aku berlindung dengan-Mu daripada segala rantai dan belenggu.

Setelah itu, basuhlah kaki kananmu kemudian kaki kirimu beserta dua buku lali. Selatilah celah-celah jari kaki kananmu dengan jari kelingking tangan kirimu, bermula dari jari kelingking kaki kananmu sehingga engkau sudahi pada jari kelingking kaki kiri. Masukkanlah jari kelingking tangan kirimu itu dari bahagian bawah dan ucapkanlah:

اللّٰهُمَّ ثَبِّتْ قَدَمَيَّ عَلَى الصِّرَاطِ يَوْمَ تَزِلُّ الْأَقْدَامُ فِي النَّارِ

Terjemahan: Ya Allah! Tetapkanlah kedua-dua kakiku di atas sirat pada hari tergelincirnya kaki-kaki ke dalam neraka.

Begitu juga engkau membasuh kaki kirimu seumpama cara di atas dan ucapkanlah:

اللّٰهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ أَنْ تَزِلَّ قَدَمِيْ عَلَى الصِّرَاطِ يَوْمَ تَزِلُّ أَقْدَامُ الْمُنَافِقِيْنَ

Terjemahan: Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada tergelincirnya kakiku di atas sirat pada hari tergelincirnya kaki-kaki orang munafik.

Basuhlah kaki itu sehingga sampai ke pertengahan kedua-dua betismu dan raikanlah pengulangan sebanyak tiga kali tersebut pada setiap perbuatanmu.

Apabila engkau selesai daripada berwuduk maka ucapkanlah:

 

أَشْهَدُ أنْ لَا إِلَــٰهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، سُبْحَانَكَ اللّٰهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، أَشْهَدُ أنْ لَا إِلَــٰهَ إِلَّا أنْتَ، عَمِلْتُ سُوْءًا وَظَلَمْتُ نَفْسِيْ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ، فَاغْفِرْ لِيْ وَتُبْ عَلَيَّ، إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمُ.

اللّٰهُمَّ اجْعَلْنِيْ مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنِيْ مِنَ الْمُتَطَهِّرِيْنَ، وَاجْعَلْنِيْ مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ، وَاجْعَلْنِيْ صَبُوْرًا شَكُوْرًا، وَاجْعَلْنِيْ أَذْكُرُكَ ذِكْرًا كَثِيْرًا، وَأُسَبِّحُكَ بُكْرَةً وَأَصِيْلًا

Terjemahan: Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah semata-mata tiada sekutu bagi-Nya dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu hamba Allah dan rasul-Nya.  Maha suci Engkau Ya Allah dan disertai dengan segala pujian bagi-Mu. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau. Aku telah berbuat kesalahan dan aku telah menzalimi diriku, aku memohon ampun daripada-Mu dan aku bertaubat kepada-Mu, maka ampunilah daku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha menerima taubat dan Maha Penyayang.

Ya Allah! Jadikanlah aku daripada golongan orang-orang yang bertaubat, jadikanlah aku daripada golongan orang-orang yang bersuci, jadikanlah aku daripada golongan hamba-hamba-Mu yang soleh, jadikanlah aku orang yang banyak bersabar dan banyak bersyukur, jadikanlah aku orang yang selalu berzikir kepada-Mu dengan sebanyak-banyaknya dan bertasbih kepada-Mu di waktu pagi dan petang.

Maka sesiapa yang membaca doa-doa ini di dalam wuduknya, nescaya keluarlah dosa-dosanya dari seluruh anggotanya dan wuduknya itu diperakui serta diangkat ke bawah Arasy, maka sentiasalah wuduk itu bertasbih kepada Allah Taala dan mensucikan-Nya serta dituliskan baginya pahala wuduk itu hingga ke hari kiamat.

Jauhilah tujuh perkara berikut ketika berwuduk:

  • Janganlah engkau mengibaskan tangan kerana engkau akan menyebabkan air terpercik.
  • Jangan sekali-kali engkau menamparkan air ke muka dan kepalamu.
  • Janganlah engkau bercakap-cakap ketika berwuduk.
  • Janganlah engkau menambah basuhan wuduk melebihi tiga kali.
  • Janganlah engkau banyak menuang air tanpa ada keperluan kerana semata-mata waswas. Bagi orang yang waswas ada sejenis syaitan yang ketawa kepada mereka. Syaitan itu dinamakan dengan al-Walhān.
  • Janganlah engkau berwuduk dengan air musyammas.
  • Janganlah engkau berwuduk daripada bekas al-ṣufriyyah (sejenis tembaga).

Kesemua tujuh perkara ini adalah makruh ketika berwuduk.

Disebutkan pula di dalam hadis:

أَنَّ مَنْ ذَكَرَ اللهَ تَعَالَــٰى عِنْدَ وُضُوْئِهِ طَهَّرَ اللهُ جَسَدَهُ كُلَّهُ، وَمَنْ لَمْ يَذْكُرِ اللهَ لَمْ يَطْهُرْ مِنْهُ إِلَّا مَا أَصَابَ الْمَاءُ

Terjemahan: Sesungguhnya sesiapa yang menyebut nama Allah Taala ketika wuduknya, nescaya Allah menyucikan keseluruhan jasadnya. Sesiapa yang tidak menyebut nama Allah (ketika wuduknya), nescaya tidak suci daripada jasadnya kecuali anggota yang terkena air.

 

Al-Azkar

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”

(Surah Ar-Ra’d, 13:28)