Hendaklah engkau mempersiapkan diri untuk melaksanakan solat zuhur sebelum gelincirnya matahari. Sekiranya engkau biasa mendirikan solat tahajud atau berjaga malam kerana melakukan kebaikan, maka hendaklah engkau tidur sebentar (qaylūlah) sebelum gelincir matahari kerana bahawa sesungguhnya terdapat pada qaylūlah itu bantuan untuk berjaga malam sepertimana bahawa sesungguhnya terdapat pada bersahur itu bantuan untuk berpuasa pada siang hari. Qaylūlah tanpa mengerjakan ibadat di waktu malam seperti bersahur tanpa berpuasa di siang hari.
Apabila engkau melakukan qaylūlah, maka berusahalah untuk bangun sebelum gelincirnya matahari, berwuduk, pergi ke masjid, mendirikan solat taḥiyyat al-masjid, menunggu muazin mengumandangkan azan serta menjawab azannya. Setelah itu, berusahalah untuk bangun lalu mendirikan solat qabliyyah sebanyak empat rakaat selepas gelincirnya matahari. Adalah Rasulullah ﷺ senantiasa memanjangkan solat tersebut dan baginda bersabda:
هَــٰـذَا وَقْتٌ تُفْتَحُ فِيْهِ أَبْوَابُ السَّمَاءِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ لِيْ فِيْهِ عَمَلٌ صَالِح
Terjemahan: Ini adalah waktu yang dibukakan padanya pintu-pintu langit, maka aku suka agar diangkatkan bagiku pada waktu ini amal yang soleh.
Hukum solat empat rakaat sebelum zuhur tersebut adalah sunat muakkad. Disebutkan di dalam hadis Nabi ﷺ bahawa sesungguhnya:
مَنْ صَلَّاهُنَّ وَأَحْسَنَ رُكُوْعَهُنَّ وَسُجُوْدَهُنَّ، صَلَّى مَعَهُ سَبْعُوْنَ أَلْفَ مَلَكٍ يَسْتَغْفِرُوْنَ لَهُ إِلَى اللَّيْل
Terjemahan: Barangsiapa yang mengerjakannya dalam keadaan ia memperelokkan rukuk dan sujudnya, nescaya akan solat bersamanya 70,000 para malaikat sambil memohon keampunan baginya sehingga waktu malam.
Setelah itu, kerjakanlah solat zuhur bersama imam.
Kemudian, dirikanlah dua rakaat solat sunat ba‘diyyah zuhur kerana kedua-duanya itu termasuk daripada solat rawātib yang sabit daripada Nabi ﷺ.
Janganlah engkau sibukkan dirimu sehingga waktu asar kecuali dengan menuntut ilmu, membantu sesama Muslim, membaca al-Quran atau mencari nafkah yang engkau akan gunakannya untuk urusan agamamu.
Kemudian, dirikanlah solat sunat empat rakaat qabliyyah asar kerana solat ini adalah sunat muakkad. Nabi ﷺ telah bersabda:
رَحِمَ اللهُ عَبْدًا صَلَّى أَرْبَعًا قَبْلَ الْعَصْرِ
Terjemahan: Semoga Allah merahmati hamba yang sembahyang empat rakaat sebelum asar.
Maka, berusahalah untuk melakukannya agar engkau termasuk di dalam doa Nabi ﷺ tersebut.
Janganlah engkau menyibukkan diri setelah solat asar kecuali dengan melakukan perkara-perkara yang telah disebutkan sebelum ini.
Tidak sepatutnya masa-masamu itu disia-siakan. Hal ini demikian kerana engkau akan sibuk pada setiap waktu dengan secara sembarangan. Bahkan, sepatutnya engkau bermuhasabah, menyusun wirid-wiridmu pada waktu siang dan malam dan menentukan bagi setiap waktu itu urusan yang tidak akan melebihi masa yang telah dihadkan serta tidak mendahulukan urusan lain. Maka dengan sebab itu akan tampaklah keberkatan waktu.
Adapun mereka yang mengabaikan dirinya secara sia-sia sepertimana binatang padahal dia tidak tahu apa yang akan dilakukan pada setiap waktu, maka akan habislah kebanyakan waktunya itu dalam keadaan sia-sia.
Waktumu itu ialah umurmu dan umurmu itu pula ialah modalmu. Melalui modal inilah engkau berniaga dan mencapai kenikmatan negeri yang abadi di sisi Allah Taala. Setiap nafasmu itu ialah permata yang tidak ternilai kerana tidak ada sesuatu pun galang ganti baginya. Apabila nafas itu luput daripadamu, maka nafas itu tidak akan kembali buat selama-lamanya.
Maka janganlah engkau jadi seperti orang bodoh yang bergembira pada setiap hari dengan bertambahnya harta mereka di samping berkurangnya umur mereka.
Apa faedahnya pada harta yang bertambah di samping umur yang berkurang?
Lantaran itu, janganlah engkau bergembira kecuali dengan bertambahnya ilmu dan amal kerana kedua-duanya adalah teman setia yang menemanimu di dalam kubur ketika keluarga, harta, anak dan teman-temanmu meninggalkanmu.
Kemudian apabila cahaya matahari sudah berubah menjadi kuning, maka berusahalah untuk kembali ke masjid sebelum terbenamnya matahari dan mengisi masa tersebut dengan bertasbih dan beristighfar kerana sesungguhnya kelebihan waktu ini sama dengan kelebihan masa sebelum terbitnya matahari. Allah Azzawajalla telah berfirman:
وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِهَا
Terjemahan: Dan bertasbihlan dengan memuji Tuhan kamu sebelum terbit dan sebelum terbenamnya matahari. (Surah Taha 20: 130).
Hendaklah engkau membaca sebelum terbenamnya matahari surah asy-Syams, al-Lail, al-Falaq serta an-Nas.
Biarkanlah matahari itu tenggelam padahal engkau dalam keadaan beristighfar.
Apabila engkau mendengar azan maghrib maka jawablah azan tersebut dan berdoalah setelah itu:
اللّٰهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِنْدَ إِقْبَالِ لَيْلِكَ، وَإِدْبَارِ نَهَارِكَ، وَحُضُوْرِ صَلَاتِكَ، وَأَصْوَاتِ دُعَاتِكَ أَنْ تُؤْتِيَ مُحَمَّدًا الْوَسِيْلَةَ…
Terjemahan: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ketika datangnya malam-Mu, perginya siang-Mu, hadirnya waktu solat-Mu dan ketika kedengaran suara para muazin-Mu agar Engkau berikan kepada Nabi Muhammad ﷺ al-wasīlah….
Doa azan ini adalah seperti yang telah disebutkan sebelum ini.
Kemudian dirikanlah solat fardu maghrib selepas daripada menjawab iqamat.
Setelah itu dirikanlah solat sunat dua rakaat sebelum engkau bercakap-cakap. Dua rakaat ini ialah sunat rātibah maghrib.
Jika engkau solat lagi sesudah dua rakaat tersebut sebanyak empat rakaat yang engkau panjangkannya, maka solat itu juga adalah sunat.
Jika memungkinkan engkau untuk berniat iktikaf sehingga waktu isyak dan menghidupkan waktu antara maghrib dan isyak dengan solat, maka kerana sesungguhnya telah warid kelebihan yang tidak terhingga bagi amalan ini. Waktu ini adalah nāsyiat al-layl kerana ia merupakan permulaan malam. Solat yang dilakukan pada waktu ini ialah solat al-awwābīn.
Nabi ﷺ telah ditanya berkenaan firman Allah Taala:
تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ ٱلْمَضَاجِعِ
Terjemahan: Mereka menjauhkan (diri) mereka daripada tempat tidur (sedikit sangat tidur kerana menunaikan solat tahajud dan amalan soleh). (Surah as-Sajdah 32: 16).
Maka telah bersabda Baginda ﷺ:
هِيَ الصَّلَاةُ بَيْنَ الْعِشَاءَيْنِ، إِنَّهَا لَتَذْهَبُ بِمَلَاغَاتِ النَّهَارِ وَتُهَذِّبُ آخِرَهُ
Terjemahan: Ia adalah solat di antara maghrib dan isyak. Maka sesungguhnya solat ini menghilangkan perkara sia-sia pada waktu siang dan membersihkan perkara sia-sia pada akhir siang.
Kalimah “الْمَلَاغَات” adalah jamak bagi kalimah “مَلْغَاة”, ia diambil daripada perkataan “اللَّغْو”.
Apabila masuk waktu isyak, maka dirikanlah solat sunat empat rakaat sebelum solat fardu isyak untuk menghidupkan waktu di antara azan dan iqamat kerana kelebihan waktu tersebut adalah banyak. Disebutkan di dalam hadis:
إِنَّ الدُّعَاءَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالْإِقَامَةِ لَا يُرَدُّ
Terjemahan: Sesungguhnya doa di antara azan dan iqamat itu tidak akan ditolak.
Kemudian dirikanlah solat fardu isyak dan solat rātibah sesudahnya sebanyak dua rakaat. Bacalah pada rakaat yang pertama surah as-Sajdah dan pada rakaat kedua al-Mulk atau pada rakaat pertama surah Yasin dan pada rakaat kedua ad-Dukhan. Maka, perkara tersebut itu telah warid daripada Nabi ﷺ.
Setelah itu, dirikanlah solat sunat empat rakaat kerana terdapat di dalam hadis yang menunjukkan kepada kelebihannya yang besar.
Kemudian dirikanlah solat sunat witir tiga rakaat dengan dua salam ataupun satu salam. Rasulullah ﷺ sering membaca pada rakaat-rakaat tersebut surah al-A‘la, al-Kafirun, al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas.
Jika engkau berazam untuk bangun sembahyang malam, maka kemudiankanlah solat witir itu supaya ia menjadi solatmu yang terakhir pada waktu malam.
Setelah itu, sibukkanlah dirimu dengan muzakarah ilmu ataupun mutalaah kitab dan janganlah engkau sibukkan dirimu dengan perkara sia-sia agar ia menjadi penutup bagi semua amalanmu sebelum tidur kerana segala amalan itu hanya dinilai pada pengakhirannya.