Adab Menjadi Imam Dan Makmum

Sepatutnya bagi seorang imam itu: Tidak memanjangkan solatnya. Telah berkata sayidina Anas radiallahuanhu:

(مَا صَلَّيْتُ خَلْفَ أَحَدٍ أَخَفَّ صلاةً وَلَا أَتَمَّ مِنْ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ)

 Terjemahan: Aku tidak pernah bersolat di belakang seseorang yang lebih ringkas solatnya dan tidak lebih sempurna selain daripada Rasulullah ﷺ.

Tidak mengucapkan takbiratulihram selagi mana muazin belum selesai daripada iqamat dan selagi mana saf belum diluruskan.

Menguatkan suaranya pada semua takbir, manakala makmum tidak menguatkan suaranya melainkan dengan kadar yang boleh memperdengarkan dirinya sendiri.

Berniat menjadi imam supaya ia memperoleh pahala solat berjemaah. Sekiranya ia tidak berniat menjadi imam, sahlah solat para makmum apabila mereka berniat mengikut imam dan memperoleh pahala berjemaah.

Memperlahankan bacaan doa iftitah dan ta‘awwudh seperti orang yang solat bersendirian.

Menguatkan bacaan al-Fatihah dan surah pada kedua-dua rakaat solat subuh dan dua rakaat terawal solat maghrib dan isyak. Begitu juga perlu dilakukan oleh orang yang solat bersendirian.

Menyaringkan bacaan amin dalam solat yang dituntut untuk dinyaringkan suara dan begitu juga makmum.

Menyerentakkan makmum ucapan aminnya bersama-sama dengan amin imam, bukanlah sesudahnya.

Imam diam sebentar sejurus selepas membaca al-Fatihah supaya nafasnya dapat kembali semula.

Makmum membaca al-Fatihah dalam solat yang dituntut untuk dinyaringkan suara ketika diamnya imam tersebut supaya dia dapat mendengar dengan teliti sewaktu imam membaca surah.

Makmum tidak membaca surah ketika solat yang dituntut untuk dinyaringkan suara kecuali apabila dia tidak mendengar suara imam.

Imam tidak menambah lebih daripada tiga kali pada bacaan tasbih-tasbih rukuk dan sujud.

Imam tidak menambah ucapan (وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ) pada bacaan tahiyat awal selepas mengucap (اللّٰهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ مُـحَمَّدٍ).

Imam membataskan bacaan al-Fatihah pada dua rakaat yang terakhir.

Imam tidak memanjangkan solat ke atas para jemaah.

Imam tidak menambah doanya ketika tahiyat akhir melebihi kadar tasyahhud dan selawat atas Muhammad Rasulullah ﷺ.

Ketika mengucapkan salam, imam berniat memberi salam kepada para jemaah dan para jemaah pula berniat dengan salam mereka itu bagi menjawab salam imam.

Ketika imam selesai daripada memberi salam, dia beralih dan menghadapkan mukanya kepada para makmum. Janganlah ia beralih sekiranya di belakangnya ada jemaah perempuan supaya mereka beredar terlebih dahulu. Janganlah seseorang daripada kalangan jemaah berdiri sehinggalah imam berdiri. Imam beredar menurut kehendaknya sama ada dari pihak kanannya atau kirinya, pihak kanan itu lebih aku sukai.

Imam tidak mengkhususkan doa untuk dirinya dalam qunut subuh, bahkan ia berkata (اللّٰهُمَّ اهْدِنَا) dan menyaringkan suaranya ketika qunut. Para jemaah mengaminkan qunut imam padahal mereka tidak mengangkat tangan kerana perkara itu tidak sabit dalam hadis-hadis.

Makmum akan membaca baki bacaan qunut bermula daripada katanya (فَإِنَّكَ تَقْضِيْ وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ).

Makmum tidak berdiri berseorangan bahkan ia masuk ke dalam saf atau ia menarik makmum lain untuk bersama dengannya.

Tidak sepatutnya makmum mendahului atau menyamai perbuatan imamnya, bahkan sepatutnya perbuatan makmum terkemudian daripadanya. Oleh itu, makmum tidak turun kepada rukuk melainkan apabila imam telah sampai kepada had orang yang rukuk dan ia tidak turun kepada sujud selagi mana dahi imam tidak sampai ke bumi.

 

Al-Azkar

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”

(Surah Ar-Ra’d, 13:28)