Adab Selepas Terbit Matahari Sehingga Gelincir

Apabila matahari telah terbit dan telah naik setinggi tombak, maka dirikanlah dua rakaat solat sunat isyrāq. Solat tersebut didirikan ketika habisnya waktu yang diharamkan solat kerana sesungguhnya solat adalah diharamkan selepas daripada solat fardu subuh sehingga naiknya matahari.

Apabila telah masuknya waktu duha, iaitu setelah berlalu sekira-kira satu perempat siang, maka dirikanlah solat sunat duha sebanyak 4, 6 atau 8 rakaat, masing-masing didirikan secara dua rakaat. Sesungguhnya kesemua bilangan rakaat ini telah diriwayatkan daripada Rasulullah ﷺ. Solat itu adalah baik kesemuanya, maka sesiapa yang ingin memperbanyakkannya maka perbanyakkanlah dan sesiapa yang ingin menyedikitkannya maka sedikitkanlah.

Tidak ada solat sunat rawātib di antara terbitnya matahari dan gelincirnya kecuali solat ini sahaja. Manakala masa-masamu yang selebihnya itu, maka terdapat empat keadaan yang memanfaatkanmu padanya:

Keadaan pertama – inilah keadaan yang afdal –: Engkau menghabiskan waktumu untuk menuntut ilmu yang bermanfaat dalam agama, bukannya ilmu yang tidak bermanfaat yang manusia tertumpu kepadanya sedangkan mereka menamakannya sebagai ilmu.

Ilmu yang bermanfaat itu adalah ilmu yang menambahkan ketakutanmu kepada Allah Taala, menambahkan pada baṣīrahmu tentang aib-aib dirimu, menambahkan pengetahuanmu berkenaan dengan ibadah kepada Tuhanmu Azzawajalla, mengurangkan keinginanmu kepada dunia, menambahkan keinginanmu kepada akhirat, membuka mata hatimu dengan perkara-perkara yang merosakkan segala amalanmu sehingga engkau mampu berjaga-jaga daripadanya, menyingkap kepadamu segala helah syaitan, tipu dayanya dan cara ia menipu para al-‘ulamā’ al-sū’ sehingga ia menjadikan mereka terdedah kepada kebencian Allah Azzawajalla dan kemurkaan-Nya. Hal ini demikian kerana mereka mencari kesenangan dunia dengan menjual agama, menjadikan ilmu sebagai alat untuk mengambil harta sultan, memakan harta wakaf, anak yatim dan orang miskin. Syaitan juga telah mencenderungkan keazaman mereka sepanjang hari untuk mencari kemegahan dan kedudukan di hati makhluk. Perkara ini telah memaksa mereka kepada menunjuk-nunjuk, suka berdebat, bersaing dan berbangga.

Bidang ilmu ini ialah sebahagian daripada ilmu yang bermanfaat sedangkan kami telah himpunkannya di dalam kitab Iḥyā’ ‘Ulūm al-Dīn.

Jika engkau daripada kalangan ahli ilmu yang bermanfaat tersebut, maka tuntut dan amalkanlah ilmu tersebut kemudian ajar serta ajaklah orang kepadanya. Barang siapa yang mengetahui ilmu tersebut, beramal dengannya dan menyeru manusia kepadanya, maka orang itu digelarkan sebagai orang yang besar di alam malakut dengan pengakuan Nabi Isa alaihissalam.

Apabila engkau telah selesai daripada menuntut semua ilmu yang bermanfaat dan memperbaiki dirimu zahir dan batin dan masih ada sisa-sisa waktumu, maka bolehlah untuk engkau menyibukkan diri dengan permasalahan fiqah mazhab supaya engkau mengetahui masalah-masalah furuk yang nadir dalam perbahasan ibadat dan pendekatan yang perlu diambil dalam pertikaian yang berlaku di kalangan manusia ketika mereka tenggelam dalam hawa nafsu. Maka mendalami permasalahan fiqah mazhab setelah selesai daripada melaksanakan tuntutan tersebut adalah tergolong daripada fardu kifayah juga.

Sekiranya nafsumu mengajak kepada meninggalkan perkara yang telah kami sebutkannya daripada wirid-wirid dan zikir-zikir kerana bersibuk-sibuk dengan ilmu furuk mazhab, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya syaitan yang dilaknat itu benar-benar telah memasukkan ke dalam hatimu penyakit yang sangat berbahaya, iaitu cintakan harta dan pangkat. Berjaga-jagalah agar engkau tidak tertipu dengan syaitan kerana engkau akan menjadi bahan ketawanya maka ia akan membinasakan serta memperolok-olokkanmu.

Sekiranya engkau telah mencuba kepada dirimu dalam tempoh yang lama pada mengamalkan wirid-wirid dan melaksanakan ibadat sunat sedangkan amalan tersebut tidak menjadikan engkau berasa berat langsung daripada mengamalkannya, tetapi ketika itu telah timbul keinginanmu untuk mendapatkan ilmu yang bermanfaat hanya kerana Allah Taala dan negeri akhirat, maka menuntut ilmu itu lebih utama daripada melakukan ibadat sunat bilamana niatmu itu benar, tetapi perkara yang penting adalah niat yang betul.

Apabila niatnya tidak sah maka niat itu adalah punca kesesatan orang-orang jahil dan kegelinciran para ulama.

Keadaan kedua: Engkau tidak berupaya untuk menuntut ilmu yang bermanfaat tetapi engkau mampu memberikan perhatian yang penuh kepada urusan-urusan ibadat seperti zikir, membaca al-Quran, bertasbih dan solat. Maka semua ini termasuk daripada darjat para abid serta perilaku solihin dan dengan sebab amalan-amalan ini juga engkau akan termasuk daripada golongan orang yang berjaya.

Keadaan ketiga: Engkau menumpukan perhatian dengan perkara yang dapat memberikan kebaikan kepada orang Islam dan memasukkan kegembiraan ke dalam hati orang-orang beriman atau memudahkan amalan-amalan yang baik untuk orang-orang yang soleh. Misalnya, berkhidmat kepada fuqaha, ahli sufi yang sebenar dan ahli agama serta berulang-alik dalam memenuhi keperluan mereka, berusaha memberikan makan kepada fakir miskin, sering menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah. Kesemua itu afdal daripada al-nawāfil al-qāṣirah kerana sesungguhnya amalan-amalan ini ialah ibadat yang terdapat padanya manfaat bagi orang-orang Islam.

Keadaan keempat: Engkau tidak berupaya untuk melakukan perkara-perkara tersebut, padahal engkau sibuk dengan hajat keperluanmu kerana mencari rezeki untuk diri dan keluargamu, di saat itu juga orang Islam selamat dan aman daripada kejahatan diri, lidah serta tanganmu dan pada ketika itu agamamu selamat kerana engkau tidak melakukan sebarang maksiat. Maka dengan sebab ini engkau akan mencapai kedudukan aṣḥāb al-yamīn sekalipun engkau tidak tergolong daripada orang yang naik kepada maqāmāt al-sābiqīn. Kedudukan ini adalah serendah-rendah darjat dalam agama. Apa-apa keadaan setelah yang keempat ini, maka itu adalah daripada tempat berkeliarannya syaitan. Keadaan itu adalah seumpama engkau menyibukkan diri – semoga Allah melindungi kita – dengan perkara yang akan membinasakan agamamu atau menyakiti mana-mana hamba Allah Taala. Maka keadaan ini adalah kedudukan orang-orang yang binasa. Oleh itu, berjaga-jagalah agar engkau tidak berada dalam kedudukan ini.

Ketahuilah bahawa sesungguhnya seseorang hamba Allah itu dengan dipandang daripada sudut agamanya terbahagi kepada tiga darjat:

–       Sama ada sālim (orang yang selamat): iaitu orang yang membatasi dirinya dengan menunaikan perkara-perkara fardu dan meninggalkan perkara-perkara maksiat.

–       atau rābiḥ (orang yang beruntung): iaitu orang yang menambahkan amalan dengan perkara yang mendekatkan diri kepada Allah dan perkara-perkara sunat.

–       atau khāsir (orang yang rugi): iaitu orang yang mengabaikan tuntutan-tuntutan yang wajib.

Oleh itu, jika engkau tidak mampu menjadi orang yang beruntung, maka berusahalah agar engkau menjadi orang yang selamat dan janganlah sekali-kali engkau menjadi orang yang rugi.

Manakala seseorang hamba Allah itu dengan dipandang daripada sudut pergaulannya dengan hamba-hamba Allah yang lain terbahagi kepada tiga darjat:

Pertama: Dia menempati kedudukan para malaikat yang mulia lagi berbakti terhadap manusia lain, iaitu seseorang yang berusaha memenuhi hajat manusia kerana belas kasihan dan menggembirakan hati mereka.

Kedua: Dia menempati kedudukan binatang dan benda yang tidak bernyawa terhadap manusia lain, oleh itu tidak sampai kebaikannya kepada mereka dan dia tidak melakukan kejahatan terhadap mereka.

Ketiga: Dia menempati kedudukan kala jengking, ular dan binatang buas yang memudaratkan manusia lain yang tidak dapat diharapkan kebaikannya dan dijauhi kejahatannya.

Jika engkau tidak mampu untuk mencapai ketinggian kedudukan malaikat, maka janganlah engkau turun daripada kedudukan binatang dan benda tidak bernyawa kepada kedudukan kala jengking dan ular.

Jika engkau reda bagi dirimu itu turun daripada kedudukan a‘lā ‘illiyyīn (darjat yang paling tinggi daripada segala yang tinggi), maka janganlah pula engkau reda bagi dirimu itu turun kepada kedudukan asfal sāfilīn (darjat yang lebih rendah daripada segala yang rendah). Semoga engkau akan selamat sekadar yang memadai untuk dirimu, iaitu dengan tidak menguntungkan dan merugikan dirimu.

Oleh sebab itu, janganlah engkau bersibuk-sibuk di siang harimu melainkan dengan perkara yang memberikan manfaat kepada akhirat dan duniamu yang engkau tidak terlepas daripada menggunakannya untuk manfaat akhiratmu.

Maka jika engkau tidak mampu untuk menunaikan tuntutan-tuntutan agamamu ketika bergaul dengan manusia dan engkau juga tidak selamat daripada melakukan maksiat, maka beruzlah itu adalah lebih utama bagimu. Oleh itu, hendaklah engkau beruzlah kerana terdapat padanya keselamatan untukmu.

Sekiranya berlaku waswas ketika uzlahmu yang mendorong engkau untuk melakukan perkara yang tidak diredai oleh Allah Taala padahal engkau tidak mampu untuk mengatasinya dengan melakukan amal ibadat, maka hendaklah engkau tidur.

Maka inilah keadaan yang terbaik bagimu dan juga bagi kita.  Apabila kita tidak mampu untuk mendapatkan harta rampasan perang maka relalah kita dengan keselamatan dalam kekalahan.

Alangkah hinanya keadaan seseorang yang selamat agamanya dengan mensia-siakan hidupnya kerana tidur itu adalah saudara kematian. Tidur itu mensia-siakan kehidupan dan menyerupai benda yang tidak bernyawa.

Maka hendaklah engkau mengetahui perkara yang disebutkan tadi nescaya engkau diberikan taufik insya-Allah.

Al-Azkar

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”

(Surah Ar-Ra’d, 13:28)