Apabila engkau telah selesai bersuci daripada hadas dan najis yang ada di badan, pakaian dan tempat, serta selesai daripada menutup aurat daripada pusat hingga ke lutut, maka hadaplah ke arah kiblat dalam keadaan berdiri sambil merenggangkan di antara dua kakimu; sekira-kira engkau tidak merapatkannya. Tegakkanlah badanmu ketika berdiri, bacalah surah an-Nas untuk membenteng daripada syaitan yang direjam, hadirkanlah hatimu, kosongkanlah ia daripada waswas dan renunglah di hadapan siapa yang engkau sedang berdiri dan bermunajat. Hendaklah engkau berasa malu untuk bermunajat kepada Tuhanmu dengan hati yang lalai dan dada yang dipenuhi dengan urusan dunia serta keinginan yang keji.
Ketahuilah di saat engkau berdiri itu bahawa sesungguhnya Allah Azzawajalla senantiasa memerhatikan kepada isi hatimu dan melihat ke dalam hatimu. Hanya sanya Allah akan menerima solatmu mengikut kadar kekhusyukan, tawaduk, khuḍū‘ dan taḍarru‘mu.
Maka beribadatlah kepada Allah di dalam solatmu seakan-akan engkau melihat-Nya, jika engkau tidak mampu melihat-Nya, maka sesungguhnya Allah senantiasa melihatmu.
Jika hatimu masih belum hadir maka ini adalah kerana kurangnya makrifatmu terhadap kebesaran Allah Taala.
Cuba engkau andaikan seorang lelaki yang soleh daripada kalangan ahli keluargamu yang terhormat sedang memerhatikanmu untuk mengetahui bagaimana solatmu, maka ketika itu pasti hatimu akan hadir dan anggotamu akan tenang!!
Kemudian kembalilah kepada nafsumu serta katakanlah padanya: “Tidakkah engkau malu kepada Penciptamu dan Tuanmu? Ketika engkau mengandaikan pemerhatian seorang hamba yang hina daripada hamba-hamba Tuhanmu ke atasmu, walhal dia tidak mempunyai apa-apa kuasa memudarat dan memberi manfaat kepadamu, telah menyebabkan khusyuknya anggotamu dan bagusnya solatmu. Sesungguhnya engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah memerhatikanmu sedangkan engkau tidak tunduk kepada kebesaran-Nya?!
Adakah Dia lebih rendah pada pandanganmu daripada salah seorang hamba-Nya?!
Maka alangkah dahsyatnya sikap melampau dan jahilmu serta betapa besarnya permusuhanmu kepada dirimu sendiri!!”
Maka rawatlah hatimu dengan helah-helah ini, mudah-mudahan hatimu akan hadir bersamamu dalam solatmu kerana engkau tidak mendapat daripada solatmu kecuali apa yang engkau khusyuk daripadanya.
Adapun solat yang engkau kerjakan dalam keadaan lalai, maka solatmu itu lebih berhajat kepada istighfar dan kifarat.
Apabila hatimu telah hadir, maka janganlah engkau tinggalkan iqamat sekalipun engkau solat bersendirian.
Jika engkau menunggu kehadiran jemaah, maka laungkanlah azan kemudian iqamat.
Apabila engkau telah berdiri tegak, maka niatlah dengan hatimu menunaikan solat fardu zohor kerana Allah Taala. Hendaklah niatmu itu hadir di dalam hatimu ketika takbiratulihram dan janganlah niatmu itu hilang daripadamu sebelum engkau selesai daripada takbiratulihram.
Angkatlah kedua-dua tanganmu ketika takbir – setelah melepaskan kedua-duanya ke bawah – ke paras kedua-dua bahumu sedangkan kedua-dua telapak tanganmu itu terbuka, jari-jemari tanganmu itu diuraikan dan janganlah engkau bersusah payah merapatkan jari-jemarimu dan merenggangkannya. Angkatlah tanganmu itu sekira-kira ibu jari tanganmu selari dengan cuping telingamu dan hujung jari-jemarimu selari dengan bahagian atas telingamu dalam keadaan kedua-dua tapak tanganmu selari dengan kedua-dua bahumu.
Apabila kedua-dua tanganmu itu telah tetap di tempatnya maka bertakbirlah, kemudian turunkan kedua-dua tanganmu itu ke bawah dengan perlahan-lahan. Janganlah engkau menolak kedua-dua tanganmu ketika engkau mengangkat dan menurunkannya ke sebelah hadapan dan tidak juga ke sebelah belakang, jangan juga engkau mengibaskannya ke kanan atau ke kiri.
Apabila engkau telah lepaskan kedua-dua tanganmu ke bawah, maka angkatlah semula ke bawah dadamu.
Muliakanlah tangan kanan dengan meletakkannya di atas tangan kiri. Unjurkanlah jari-jemari tangan kanan pada bahagian memanjang hasta tangan kiri dan genggamlah dengan tangan kanan itu di atas pergelangan tangan kiri. Bacalah selepas takbiratulihram:
اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا، وَالْحَمْدُ لِلّٰهِ كَثِيْرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلًا
Terjemahan: Allah Maha Besar sebesar-besarnya, segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya, Maha Suci Allah pada waktu pagi dan petang.
Kemudian bacalah:
وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِيْ فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيْفًا مُسْلِمًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ، إِنَّ صَلَاتِيْ وَنُسُكِيْ وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِيْ لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، لَا شَرِيْكَ لَهُ وَبِذَ ٰلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ
Terjemahan: Aku menghadapkan muka dan diriku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap atas agama tauhid dan aku bukanlah termasuk orang yang mempersekutukan Tuhan [dengan sesuatu yang lain]. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir seluruh alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah daripada orang Islam.
Kemudian bacalah:
أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ
Terjemahan: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.
Kemudian bacalah surah al-Fatihah dengan sabdu-sabdunya serta usahakanlah untuk membezakan di antara huruf “ض” dan “ظ” dan sebutlah: amin dan janganlah engkau menyambungkannya dengan bacaanmu: وَلَا ٱلضَّآلِّينَ
Nyaringkanlah bacaan pada solat subuh, maghrib dan isyak – aku maksudkan adalah pada dua rakaat terawal – kecuali engkau adalah makmum dan nyaringkanlah juga bacaan amin.
Bacalah pada solat subuh selepas surah al-Fatihah mana-mana surah “ṭiwāl al-mufaṣṣal”, pada solat maghrib mana-mana surah “qiṣār al-mufaṣṣal” dan pada solat zuhur, asar dan isyak mana-mana surah “awsaṭ al-mufaṣṣal” contohnya surah al-Buruj dan apa-apa surah yang hampir sama panjang dengannya. Bacalah pada solat subuh ketika bermusafir surah al-Kafirun dan surah al-Ikhlas.
Janganlah engkau sambungkan bacaan akhir surah dengan ucapan takbir untuk rukuk, tetapi pisahkanlah antara kedua-duanya dengan sekadar tempoh bacaan (سُبْحَانَ اللهِ).
Jadilah engkau seorang yang menundukkan kedua-dua matamu pada semua keadaan berdirimu lagi menumpukan pandanganmu kepada tempat sujudmu kerana keadaan tersebut lebih menumpukan bagi hatimu dan mendekatkan untuk hadirnya.
Jangan sekali-kali engkau menoleh ke kiri atau ke kanan di dalam solatmu.
Setelah itu, hendaklah engkau mengucapkan takbir untuk rukuk, angkatlah kedua-dua tanganmu seperti cara yang telah disebutkan serta panjangkanlah ucapan takbir itu sehingga engkau berada dalam keadaan rukuk. Kemudian letakkanlah kedua-dua telapak tanganmu di atas kedua-dua lututmu sedangkan jari-jemarimu terunjur, tegakkanlah kedua-dua lututmu, ratakanlah belakang, leher dan kepalamu dengan lurus seperti sekeping papan. Renggangkanlah kedua-dua sikumu daripada kedua-dua lambungmu – orang perempuan tidak perlu berbuat sedemikian – dan bacalah sebanyak tiga kali:
سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ
Terjemahan: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Agung.
Jika engkau solat bersendirian dan engkau hendak menambah bacaan tasbih tersebut, maka bacalah sebanyak tujuh atau sepuluh kali, maka sesungguhnya itu adalah baik.
Kemudian angkatlah kepalamu sehingga engkau tegak berdiri dan angkatlah kedua-dua tanganmu sambil mengucapkan:
سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ
Terjemahan: Allah mendengar sesiapa yang memujinya.
Apabila engkau berdiri tegak maka bacalah:
رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ مِلْءَ السَّمَاوَاتِ وَمِلْءَ الْأَرْضِ وَمِلْءَ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ
Terjemahan: Wahai Tuhan kami! Bagimu segala pujian sepenuh langit, bumi dan apa jua yang Engkau kehendaki daripada sesuatu setelah itu.
Jika engkau dalam solat fardu subuh, maka bacalah qunut pada rakaat yang kedua dalam iktidalmu setelah bangkit daripada rukuk.
Kemudian sujudlah sambil mengucap takbir tanpa mengangkat kedua-dua tanganmu. Setelah itu, letakkanlah dahulu kedua-dua lututmu ke atas bumi, disusuli dengan kedua-dua tanganmu dan diiringi dengan dahimu dalam keadaan terbuka serta letakkanlah hidungmu bersama-sama dahi tersebut. Renggangkanlah kedua-dua sikumu dari kedua-dua lambungmu, renggangkanlah perutmu daripada kedua-dua pahamu – orang perempuan tidak perlu berbuat demikian –, letakkanlah kedua-dua tanganmu di atas bumi bersetentang dengan kedua-dua bahumu dan janganlah engkau hamparkan kedua-dua hastamu di atas bumi. Bacalah:
سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى
Terjemahan: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi.
sebanyak tiga kali. Jika engkau solat bersendirian bacalah sebanyak tujuh atau sepuluh kali.
Kemudian engkau bangkit daripada sujud sambil mengucapkan takbir sehingga engkau duduk tegak, duduklah di atas telapak kaki kirimu, tegakkanlah telapak kaki kananmu dan letakkanlah kedua-dua tanganmu di atas kedua-dua pahamu sedangkan jari-jemarimu dalam keadaan terunjur dan bacalah:
رَبِّ اغْفِرْ لِيْ، وَارْحَمْنِيْ، وَارْزُقْنِيْ، وَاهْدِنِيْ، وَاجْبُرْنِيْ، وَعَافِنِيْ، وَاعْفُ عَنِّيْ
Terjemahan: Wahai Tuhanku! Ampunilah daku, kasihanilah daku, kurniakanlah rezeki kepadaku, berikanlah hidayah kepadaku, tampunglah kekuranganku, afiatkanlah daku dan maafkan daku.
Kemudian hendaklah engkau sujud kali yang kedua seperti kaifiat sujud yang pertama.
Kemudian engkau bangkit pula untuk duduk “al-istirāḥah” pada setiap rakaat yang tiada tasyahhud setelahnya.
Kemudian engkau berdiri maka engkau letakkan kedua-dua tanganmu di atas bumi dan janganlah engkau mendahulukan salah satu daripada kedua-dua kakimu ketika bangun. Mulakanlah mengucap takbir untuk bangun ketika hampir pada kadar kedudukan duduk al-istirāḥah dan panjangkanlah takbir tersebut hingga sampai separuh berdirimu (had rukuk). Jadikanlah duduk al-istirāḥah ini sebagai duduk yang cepat dan ringan.
Tunaikanlah solat bagi rakaat yang kedua seperti tatacara solat pada rakaat yang pertama tadi dan ulangilah bacaan al-ta‘awwudh pada permulaannya.
Kemudian engkau duduk pada rakaat kedua untuk tasyahhud awal. Letakkanlah tangan kanan ketika duduk tasyahhud tersebut di atas paha kanan dengan menggenggamkan jari-jemari kecuali jari telunjuk dan ibu jari maka engkau lepaskan kedua-duanya. Hendaklah engkau mengisyaratkan dengan jari telunjuk kananmu ketika engkau mengatakan (إِلَّا اللهُ) bukan ketika mengatakan (لَا إِلَــٰهَ). Letakkanlah tangan kirimu dalam keadaan jari-jemarimu terunjur di atas paha kiri, duduklah di atas kaki kirimu pada tasyahhud ini seperti engkau duduk antara dua sujud dan duduklah pada tasyahhud akhir secara duduk tawarruk.
Engkau akhirkan doa yang makruf lagi warid selepas berselawat ke atas Rasulullah ﷺ. Duduklah pada tasyahhud akhir ini di atas pangkal peha kirimu dan iringkanlah kaki kirimu dalam keadaan terkeluar dari bawahmu serta tegakkanlah kaki kananmu.
Kemudian, ucapkanlah setelah selesai daripada segala doa itu (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ) sebanyak dua kali pada sebelah kanan dan kiri. Palingkanlah mukamu sekira-kira orang yang berada di kanan dan kirimu dapat melihat kedua-dua pipimu. Niatkanlah salam tersebut ke atas mereka yang berada di kanan dan kirimu daripada para malaikat dan orang Islam.
Apa yang telah disebutkan ini ialah cara solat bagi orang solat bersendirian.
Tiang solat itu ialah khusyuk dan hadirnya hati berserta dengan bacaan dan zikir dengan pemahaman.
Telah berkata Imam Hassan Basri rahimahullah taala:
كُلُّ صَلَاةٍ لَا يَحْضُرُ فِيْهَا الْقَلْبُ فَهِيَ إِلَى الْعُقُوْبَةِ أَسْرَعُ
Terjemahan: Setiap solat yang tidak hadir hati padanya maka solat itu lebih dekat kepada seksaan.
Telah bersabda Rasulullah ﷺ:
إِنَّ الْعَبْدَ لَيُصَلِّي الصَّلَاةَ فَلَا يُكْتَبُ لَهُ سُدُسُهَا وَلَا عُشْرُهَا، وَإِنَّمَا يُكْتَبُ لِلْعَبْدِ مِنْ صَلَاتِهِ مَا عَقَلَ مِنْهَا
Terjemahan: Sesungguhnya seorang hamba mengerjakan solat maka tidak dituliskan baginya satu perenam atau satu persepuluh, hanya sanya ditulis bagi hamba tersebut daripada solatnya apa yang ia faham daripadanya.