AZAN KEPADA BAYI: HUKUM DAN TATACARA
Disunatkan mengazankan bayi yang baru lahir di telinga kanannya dan membaca iqamah di telinga kirinya – sama ada bayi lelaki mahupun perempuan. Amalan ini dilakukan sebagai salah satu sunnah dalam menyambut kelahiran. Ia bertujuan agar kalimah tauhid menjadi suara pertama yang didengari oleh bayi.
Daripada Abu Rafi’ RA, beliau berkata:
“رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَذَّنَ فِي أُذُنِ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ حِينَ وَلَدَتْهُ فَاطِمَةُ بِالصَّلَاةِ”
“Aku melihat Rasulullah SAW mengazankan di telinga al-Hasan bin Ali ketika Fatimah melahirkannya.”
(Riwayat Abu Daud – dinilai Hasan oleh al-Albani)
Tatacara Azan dan Iqamah kepada Bayi
- Menghadap kiblat sebelum memulakan azan dan iqamah.
- Meletakkan bayi dengan lembut dan penuh adab di atas ribaan atau tempat yang selesa.
- Azankan di telinga kanan bayi, lafaz azan sebagaimana azan solat lima waktu.
- Iqamahkan di telinga kiri bayi, lafaz iqamah seperti biasa.
- Disunatkan untuk membaca ayat-ayat al-Quran seperti Ayat Kursi atau Surah al-Ikhlas selepas azan dan iqamah, sebagai tanda memohon perlindungan Allah SWT ke atas bayi tersebut.
Lafaz Azan
اللّٰهُ أَكْبَرُ اللّٰهُ أَكْبَرُ
(2x) أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ
(2x) أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللّٰهِ
(2x) حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ
(2x) حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ
اللّٰهُ أَكْبَرُ اللّٰهُ أَكْبَرُ
لَا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ
Lafaz Iqamat
اللّٰهُ أَكْبَرُ اللّٰهُ أَكْبَرُ
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ
أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللّٰهِ
حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ
حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ
قَدْ قَامَتِ الصَّلَاةُ (2x)
اللّٰهُ أَكْبَرُ اللّٰهُ أَكْبَرُ
لَا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ
TAHNIK
Amalan tahnik merupakan salah satu sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dengan cara meletakkan sedikit manisan seperti kurma yang telah dikunyah ke dalam mulut bayi yang baru lahir, khususnya pada lelangit mulutnya. Ia dilakukan oleh orang yang soleh seperti ibu bapa, ulama, imam atau orang yang dihormati dari segi keagamaannya.
Hukum dan Dalil
Hukum tahnik adalah sunat berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW. Ia disebut dalam hadis sahih daripada Saidatina Aisyah RA:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُؤْتَى بِالصِّبْيَانِ فَيُبَارِكُ عَلَيْهِمْ وَيَحْنِكُهُمْ
“Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah didatangkan dengan bayi-bayi kecil, lalu Baginda mendoakan keberkatan ke atas mereka dan mentahnik mereka.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2147)
Tatacara Bertahnik Bayi Mengikut Sunnah
Amalan tahnik adalah sunnah yang digalakkan selepas kelahiran bayi. Ia bertujuan menyambut kelahiran dengan keberkatan, doa dan kasih sayang. Berikut ialah tatacara yang teratur dan mudah untuk dilaksanakan:
- Sediakan bahan-bahan seperti buah kurma (sebaiknya kurma ajwah) dan air zamzam.
- Mulakan dengan bacaan istighfar (contohnya: Astaghfirullahal ‘azim sebanyak tiga (3) kali).
- Membaca Surah al-Fatihah sebagai pembuka bacaan dan doa.
- Membacakan Ayat Kursi dan selawat ke atas Nabi SAW.
- Membaca Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas (tiga surah pelindung).
- Ambil sebiji kurma, kunyah sehingga lembut dan lumat (oleh orang soleh atau ibu/bapa bayi).
- Ambil sedikit kurma tersebut menggunakan jari telunjuk atau jari kelingking (pastikan jari bersih).
- Letakkan jari ke dalam mulut bayi, calitkan kurma ke bahagian lelangit mulut bayi secara perlahan.
- Biarkan jari seketika dalam mulut kemudian keluarkan dengan lembut.
- Titiskan sedikit air zamzam ke dalam mulut bayi sebagai tambahan keberkatan.
- Akhiri dengan doa khas seperti berikut:
Doa Tahnik untuk Bayi
اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ بَارًّا تَقِيًّا وَنَبِّهْهُ فِي صِغَرِهِ وَفِي كِبَرِهِ مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya:
“Ya Allah, jadikanlah anak ini seorang yang berbakti dan bertakwa, cerdik sejak kecilnya, dan tempatanlah dia dalam kalangan hamba-Mu yang soleh.”
Untuk Bayi Lelaki:
أُعِيذُهُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ
Maksudnya:
“Aku memohon perlindungan untuknya dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada segala syaitan, binatang berbisa dan daripada pandangan mata yang jahat.”
Untuk Bayi Perempuan:
أُعِيذُهَا بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ
Maksudnya:
“Aku memohon perlindungan untuknya dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada segala syaitan, binatang berbisa dan daripada pandangan mata yang jahat.”