Dalam konteks pengurusan jenazah, talkin ialah bacaan yang dibacakan kepada jenazah orang Islam selepas selesai dikebumikan. Ia berfungsi sebagai peringatan kepada orang yang menghadiri majlis pengebumian tersebut tentang soal jawab kubur seperti pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir mengenai Tuhan, agama dan Nabi.

Hukum dan Dalil Bacaan Talkin

Dalam mazhab Syafi‘i, membaca talkin kepada jenazah selepas dikebumikan adalah disunatkan, sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu‘:

قَالَ جَمَاعَةٌ مِنْ أَصْحَابِنَا يُسْتَحَبُّ تَلْقِينُ الْمَيِّتِ بَعْدَ دَفْنِهِ

Terjemahan: “Sebilangan besar para ulama ashab dalam mazhab kami (Syafi‘iyah) berpendapat bahawa disunatkan talkin ke atas mayat selepas dikebumikan.”

Namun begitu, menurut pandangan Imam al-Ramli dalam kitab Nihayah al-Muhtaj, hukum sunat ini hanya terpakai bagi jenazah yang mukallaf iaitu yang telah mencapai umur baligh dan berakal:

وَلَا يُلَقَّنُ طِفْلٌ وَلَوْ مُرَاهِقًا وَمَجْنُونٌ لَمْ يُكَلَّفْ كَمَا فِي الْأَزْرَعِيِّ لِأَنَّهُمَا لَا يُسْأَلَانِ فِي قُبُورِهِمَا

Terjemahan: “Tidak dilakukan talkin kepada kanak-kanak walaupun telah mencecah umur murahiq (awal remaja), dan juga tidak kepada orang gila yang tidak pernah mengalami tempoh taklif sebelum itu, sebagaimana dikecualikan oleh al-Azra‘ie kerana kedua-duanya tidak akan diuji (disoal) di dalam kubur.”

Ini menunjukkan bahawa talkin hanya disunatkan bagi jenazah yang akan melalui soal jawab kubur iaitu orang yang sempurna akal dan telah mukallaf semasa hidupnya. Bagi jenazah kanak-kanak atau orang gila yang tidak pernah baligh atau ditaklifkan, tidak disyariatkan bacaan talkin ke atas mereka.

Bacaan Talkin Jenazah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ

سُبْحَانَ مَنْ تَنَزَّهَ بِالْقُدْرَةِ وَالْبَقَاءِ، وَقَهَرَ الْعِبَادَ بِالْمَوْتِ وَالْفَنَاءِ، لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا، وَأَنَّ مَصِيرَكُمْ

سَوْفَ يُرِيْكُمْ كُلَّ شَيْءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجْهَهُ، لَهُ الْحُكْمُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُوْنَ

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُوْرَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ

الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُوْرِ (آل عمران: 185)

مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيْهَا نُعِيْدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَى (طه: ٥٥)

Bersama kita mentalinkan saudara/saudari kita …(nama)

Juga untuk peringatan kita semua yang masih diberikan kesempatan untuk memanfaatkan hidup di atas muka bumi ini. Alhamdulillah kita telah sama-sama menyempurnakan kewajipan kita ke atas saudara/saudari kita (nama) yang telah mendahului kita menghadap Allah SWT. Sesungguhnya dari allah kita datang dan kepada allah jua kita akan dikembalikan. Setiap yang hidup pasti akan merasai mati.

Allah SWT berfirman,

أَيْنَمَا تَكُوْنُوا يُدْرِكْكُمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِي بُرُوْجٍ مُشَيَّدَةٍ وَإِنْ تُصِبْهُمْ حَسَنَةٌ يَقُوْلُوا هٰذِهِ مِنْ عِنْدِ اللّٰهِ وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَقُوْلُوا هٰذِهِ مِنْ عِنْدِكَ قُلْ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ اللّٰهِ فَمَالِ هٰؤُلَاءِ الْقَوْمِ لَا يَكَادُوْنَ يَفْقَهُوْنَ حَدِيْثًا (النساء : 78)

Terjemahan: Di mana pun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh (Al-Quran. An-Nisa’ 4:78).

Ayat ini menunjukkan bahawa kematian itu sedang mengejar dan mendapatkan kita. Ibarat sebuah perlumbaan, kita yang makin lemah di hadapan, sedikit demi sedikit akan dihampiri oleh pesaing kita, yang akan meminta kita inilah perumpamaan kematian yang sentiasa mengejar kita. Yakinlah kita semua bahawa mati itu benar, alam kubur itu benar, pertanyaan munkar nakir itu benar, bangkit sesudah mati itu benar, dihitung dosa dan pahala itu benar, titian sirat itu benar, syurga itu benar, neraka itu benar. Hari kiamat pasti datang, tidak diragui lagi dan bahawasanya Allah akan membangkitkan kembali sekalian orang yang di dalam kubur.

Wahai saudara/saudariku (Nama)

Mudah-mudahan Allah mengampuni, mengasihani, mensejahterakan serta memaafkan saudara/saudari sekarang. Saudara/saudari berada di alam barzakh, alam transit antara dunia dan akhirat. Maka janganlah saudara/saudariku lupa perjanjian yang telah saudara/saudari ikrarkan semasa hidup, iaitu:

لَا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ مُحَمَّدٌ رَسُوْلُ اللهِ

‘Pengakuan tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah. Bukankah hasil dan kesan dari kalimah inilah saudara/saudari rukuk, sujud, berdoa, berzikir, membaca al-quran, bersedekah, melakukan perbuatan yang baik/makruf, meninggalkan perbuatan yang dilarang/mungkar. Ingatlah saudara/saudariku, saudara/saudari tidak keseorangan di liang kubur sekarang. Saudara/saudari bersama-sama dengan solat, saudara/saudari ditemani al-Quran yang saudara/saudari baca. Dilindungi sedekah/infak serta sumbangan yang saudara/saudari lakukan semasa hidup dahulu. Saudara/saudari bersama amal-amal baik yang saudara/saudari laksanakan semasa hidup, beruntung dan bertuahlah saudara/saudari dengan bekalan amalan yang menghimpunkan pahala.

Wahai saudara/saudariku, (Nama)

Semasa hidup dahulu mungkin saudara/saudari ada melakukan dosa sama ada kepada Allah mahupun kepada sesama manusia. Jika dosa itu kepada Allah kami memohon agar Allah dengan sifat pengampunNya mengampunkan dosa-dosa saudara/saudari. Sekiranya dosa itu berkait dengan manusia kami juga memohon agar Allah membuka hati mereka yang berkenaan untuk memaafkan saudara/saudari.

Amin…Amin…Amin..Ya Rabbal Al-Amin.

Wahai saudara/saudariku, (Nama)

Ingatlah pesananku ini, apabila datang kepadamu dua (2) malaikat yang bertanya kepadamu:

Siapa Tuhan kamu?

Siapa Nabi SAW kamu?

Apa iktikad kamu serta di atas pegangan apa kamu mati?

Maka jawablah kepada mereka dengan penuh yakin. Maka jawablah dengan lidah yang lancar lagi fasih.

Allah Tuhanku yang sebenarnya,

Muhammad SAW Nabiku,

Islam Agamaku,

Al-Quran Imamku,

Kaabah Kiblatku,

Solat Kewajipanku,

Kaum Muslimin Saudaraku.

Nabi Ibrahim Al Khalil Bapaku

Hidup dan mati di atas kalimah

لَا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ مُحَمَّدٌ رَسُوْلُ اللهِ

Berpegang teguhlah wahai saudara/saudariku dengan pengakuan ini dan ingatlah wahai saudara/saudariku (nama), saudara/saudari akan menetap di alam barzakh ini hingga hari akhirat. Selamat tinggal wahai saudara/saudariku, kami menyerahkan urusanmu ini kepada Allah jua. Ya Allah rahmatilah permusafiran saudara/saudari kami (nama) di alam barzakh dan pemusafiran kami di dunia nyata ini. Permudahkanlah kepada saudara/saudari kami ini dengan jawapan atau pengakuan janganlah ditimpakan fitnah ke atas kami selepas pemergiannya. Ampunilah kami dan ampunilah saudara/saudari kami ini wahai Tuhan yang menguasai seluruh alam.

نَسْتَوْدِعُكَ اللهَ اللَّهُمَّ يَا أَنِيْسَ كُلِّ غَرِيْبٍ وَيَا حَاضِرًا لَيْسَ بِغَائِبٍ أُنْسْ وَحْدَتَهُ وَآرْحَمْ غُرْبَتَهُ وَنَجِّهِ

مِمَّا خَافَ وَاحْذَرَ وَلَا تُبْدِلْنَا بِهِ بَدَلًا وَاِغْفِرْ لَنَا وَلَهُ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ، سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُوْنَ وَسَلَامٌ عَلَى الْمُرْسَلِيْنَ

وَالْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.

Rasional

Mempelajari tatacara pengurusan jenazah amat penting bagi pelajar USIM kerana mereka sering dijadikan rujukan masyarakat dalam hal ibadah sama ada ketika masih belajar mahupun selepas bergraduasi. Dalam mazhab Syafi‘i, orang yang paling afdal menguruskan jenazah ialah waris lelaki terdekat seperti bapa, datuk, anak lelaki, saudara kandung dan seterusnya mengikut turutan nasab. Oleh itu, sebagai ahli keluarga dan individu berpendidikan agama yang menjadi rujukan masyarakat, mereka perlu bersedia memimpin dan melaksanakan tugas ini dengan yakin dan menepati syarak.

Al-Azkar

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”

(Surah Ar-Ra’d, 13:28)