Tidak sepatutnya engkau membatasi di atas puasa Ramadan, maka dengan sebab itu engkau akan meninggalkan berniaga dengan puasa-puasa sunat dan meninggalkan berusaha mencapai kedudukan yang tinggi di syurga firdaus. Oleh itu, engkau akan berasa rugi apabila memandang kepada orang-orang yang berpuasa seperti mana engkau memandang kepada bintang-bintang yang bersinar sedangkan mereka berada pada kedudukan yang tertinggi.
Hari-hari yang mempunyai kelebihan yang telah disaksikan oleh hadis dengan kemuliaannya dan limpahan pahala dengan berpuasa padanya ialah:
Hari Arafah, hari Asyura, sepuluh hari yang pertama dari bulan Zulhijah, sepuluh hari yang pertama dari bulan Muharam, Rejab dan Syaaban.
Berpuasa di bulan-bulan haram adalah termasuk daripada hari-hari yang mempunyai kelebihan. Bulan-bulan tersebut ialah Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Bulan Rejab ialah bulan yang tunggal sedangkan yang tiga berturut-turut. Inilah hari-hari yang dituntut berpuasa di dalam setahun.
Adapun hari-hari yang dituntut berpuasa dalam sebulan ialah: awal bulan, tengah bulan, akhir bulan dan hari-hari putih; iaitu 13, 14 dan 15 haribulan.
Adapun hari-hari yang dituntut berpuasa dalam seminggu ialah: Isnin, Khamis dan Jumaat.
Maka engkau hapuskanlah dosa-dosa seminggu dengan berpuasa pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat.
Engkau hapuskanlah dosa-dosa sebulan dengan berpuasa pada hari pertama, tengah dan akhir daripada setiap bulan serta hari-hari putih.
Engkau hapuskanlah pula dosa-dosa setahun dengan berpuasa pada hari-hari dan bulan-bulan yang telah disebutkan.
Janganlah sekali-kali engkau menyangka apabila engkau berpuasa bahawa puasa itu hanya meninggalkan makan, minum dan bersetubuh.
Maka sesungguhnya telah bersabda Rasulullah ﷺ:
(كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوْعُ وَالْعَطَشُ)
Terjemahan: Berapa banyak daripada orang yang berpuasa tiadalah baginya daripada puasanya itu kecuali lapar dan dahaga.
Bahkan kesempurnaan puasa itu adalah dengan menahan segala anggota badan daripada melakukan perkara yang dibenci oleh Allah Taala. Maka sepatutnya engkau menjaga mata daripada memandang kepada perkara-perkara yang dibenci Allah, lidah daripada menuturkan perkara yang tidak berfaedah bagimu, telinga daripada mendengar perkara yang diharamkan oleh Allah Azzawajalla kerana orang yang mendengar dengan sengaja itu adalah sekutu bagi orang yang bercakap dan dia adalah salah seorang daripada orang yang mengumpat.
Demikianlah juga engkau menahan segala anggota badan seperti engkau menahan perut dan kemaluan. Maka telah diriwayatkan di dalam hadis:
(خَمْسٌ يُفَطِّرْنَ الصَّائِمَ: الْكَذِبُ، وَالْغِيْبَةُ، وَالنَّمِيْمَةُ، وَالْيَمِيْنُ الْكَاذِبَةُ، وَالنَّظَرُ بِشَهْوَةٍ)
Terjemahan: Lima perkara yang membatalkan (pahala) puasa, iaitu berbohong, mengumpat, mengadu domba, sumpah palsu dan memandang dengan syahwat.
Telah bersabda Nabi ﷺ:
(إِنَّمَا الصَّوْمُ جُنَّةٌ، فِإِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ صَائِمًا فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ، فَإِنِ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ: إِنِّيْ صَائِمٌ)
Terjemahan: Hanya sanya puasa itu perisai, maka apabila salah seorang daripada kamu berpuasa, maka janganlah ia berkata yang keji dan melakukan amalan orang yang jahil. Maka jika seseorang memusuhinya atau mencelanya, maka hendaklah ia berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa.
Kemudian berusahalah untuk berbuka puasa dengan makanan yang halal dan janganlah engkau memperbanyakkan memakan makanan yang halal sehingga engkau menambah dari kebiasaan yang engkau makan pada waktu malam. Hal ini demikian kerana tiada beza bagimu apabila engkau memenuhi makanan yang biasa engkau makan dua kali dengan sekali makan. Sedangkan tujuan daripada berpuasa itu hanyalah untuk memecahkan syahwatmu dan melemahkan kekuatanmu supaya engkau menjadi kuat dengannya untuk bertakwa.
Apabila engkau makan pada waktu awal malam untuk menggantikan makanan yang engkau tidak makan pada waktu pagi, maka tidak ada faedah pada puasamu padahal engkau telah memberatkan lagi perutmu dan tidak ada bekas yang lebih dibenci oleh Allah Azzawajalla daripada perut yang dipenuhi dengan sesuatu yang halal.
Apabila engkau telah mengetahui tujuan berpuasa, maka hendaklah engkau memperbanyakkan berpuasa mengikut kemampuanmu kerana puasa ialah asas segala ibadat dan kunci bagi segala amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Telah bersabda Rasulullah ﷺ:
(قَالَ اللهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: كُلُّ حَسَنَةٍ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِ مِئَةِ ضِعْفٍ إِلَّا الصِّيَامَ، فَإِنَّهُ لِيْ وَأَنَا أَجْزِيْ بِهِ)
Terjemahan: Allah Tabāraka wa Ta‘ālā telah berfirman: Setiap kebaikan digandakan dengan sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda kecuali puasa, maka sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku akan membalasnya.
Telah bersabda Rasulullah ﷺ:
(وَالَّذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ لَـخُلُوْفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيْحِ الْمِسْكِ، يَقُوْلُ اللهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: إِنَّمَا يَذَرُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ وَشَرَابَهُ مِنْ أَجْلِيْ، فَالصِّيَامُ لِيْ وَأَنَا أَجْزِيْ بِهِ)
Terjemahan: Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum daripada bau kasturi. Allah Tabāraka wa Ta‘ālā berfirman: Hanya sanya dia meninggalkan syahwat, makanan dan minumannya kerana Aku, maka puasa itu untuk-Ku dan Aku akan membalasnya.
Telah bersabda Rasulullah ﷺ:
(لِلْجَنَّةِ بَابٌ يُقَالُ لَهُ: الرَّيَّانُ، لَا يَدْخُلُهُ إِلَّا الصَّائِمُوْنَ، فَإِذَا دَخَلُوْهُ أُغْلِقَ)
Terjemahan: Bagi syurga itu sebuah pintu yang dinamakan baginya al-Rayyān sedangkan tidak akan memasukinya melainkan orang-orang yang berpuasa, maka apabila mereka telah memasukinya maka ia dikunci.
Sekadar ini penerangan tentang amalan-amalan ketaatan yang memadai bagimu pada kitab Bidāyat al-Hidāyah ini. Jika engkau memerlukan kepada huraian tentang zakat, haji atau huraian tambahan tentang solat dan puasa, maka carilah ia daripada apa yang kami telah nyatakan di dalam kitab Iḥyā’ ‘Ulūm al-Dīn nescaya engkau akan mendapatkannya insya-Allah.