Islam telah menetapkan tatacara yang tersusun dalam pengurusan jenazah bagi memastikan kehormatan si mati terpelihara serta memenuhi tuntutan syarak. Antara proses utama dalam pengurusan jenazah ialah:
- Memandikan jenazah
- Mengkafankan jenazah
- Menyembahyangkan jenazah (Solat Jenazah)
- Mengebumikan jenazah (pengebumian di tanah perkuburan Islam)
Setiap proses ini mempunyai kaedah dan adab yang khusus dan merupakan sebahagian daripada fardu kifayah yang perlu dipelajari oleh umat Islam supaya dapat dilaksanakan dengan betul apabila diperlukan.
PROSES MANDI JENAZAH
Berikut dilampirkan beberapa senarai bahan yang perlu ada dalam memandikan jenazah:
Senarai Bahan Memandikan Jenazah
- Sabun
- Kapur barus
- Putik kapas atau kain untuk bersugi
- Tiga (3) helai sarung tangan
- Daun bidara, daun inai, limau nipis dan daun sintok (tiga (3) jenis untuk mandi sembilan)
- Kain jarang
- Tiga (3) bekas air dan satu cebuk
- Tuala
- Penapis
- Lidi atau batang mancis
- Tanggung (tilam kayu atau pelantar mandi jenazah)
- Debu (jika diperlukan untuk najis yang sukar hilang)
- Sebuah dulang besar
Persediaan Awal Menguruskan Jenazah
- Kain kafan telah disiapkan.
- Air sembilan (air campuran bahan semulajadi) disediakan sebanyak tiga (3) baldi.
- Tanggung (pelantar mandi jenazah) dan aliran air disediakan dengan baik.
- Tempat mandi jenazah ditutup dan dilindungi dengan sempurna untuk menjaga aurat dan maruah.
- Memasang bau-bauan (seperti gaharu atau minyak wangi) untuk keselesaan dan adab.
- Melantik tiga (3) orang petugas yang mencukupi, tidak terlalu ramai.
- Semua petugas wajib memakai sarung tangan.
- Jenazah diletakkan di atas tempat mandi dengan posisi yang sesuai.
- Pakaian jenazah disalin dan aurat ditutup dengan dua (2) helai kain (satu bahagian bawah, satu seluruh badan).
- Anggota badan jenazah dipicit lembut agar mudah digerakkan, terutama hingga ke kaki.
- Jurumandi memastikan tiada halangan yang menghalang air daripada sampai ke tubuh (contoh: plaster, pewarna kuku).
Langkah Memandikan Jenazah
- Mandi Basuh
Langkah pertama ialah membersihkan jenazah daripada sebarang najis dan kotoran yang zahir. Ia termasuk membersihkan bahagian sulit, mulut, hidung dan seluruh anggota luar badan secara lembut dan beradab. Tujuannya adalah untuk memastikan jenazah berada dalam keadaan bersih sebelum dimandikan secara wajib. - Mandi Wajib
Jenazah dimandikan dengan niat mandi wajib. Air disiram ke seluruh tubuh bermula dari bahagian kanan kemudian kiri. Pastikan air mengenai semua bahagian badan termasuk lipatan-lipatan anggota. Proses ini menyerupai mandi janabah bagi orang hidup dan perlu dilakukan dengan penuh tertib. - Mandi Air Sembilan
Air sembilan ialah campuran daripada tiga (3) jenis tumbuhan seperti daun bidara, inai, limau nipis atau sintok yang dicampur dalam dua (3) [sic] baldi air berbeza, menjadikan jumlah sembilan (9) bilasan. Ia dinamakan sebagai bilasan penyucian dan diakhiri dengan air bercampur kapur barus untuk menyegarkan serta menghormati jenazah sebelum dikafankan.
Tatacara Mandi Basuh Jenazah
- Mula membasuh dengan air mutlak seluruh badan (gunakan sabun).
- Gosok dan buang najis yang ada pada:
a. Bahagian kanan depan
b. Bahagian kanan diri
c. Bahagian kiri depan
d. Bahagian kiri belakang - Letak semula kedudukan asal.
- Meruam
a. Dudukkan mayat, tangan kanan memegang kepala, ibu jari di tengkuk, kaki dibuka.
b. Tangan kiri mengurut perut mayat.
c. Korek sedikit kubul dan dubur, jika perempuan dan urut-urut sekiranya lelaki.
d. Masukkan jari pemandri sedikit untuk membersihkan sekeliling dubur.
e. Niat istinja’ gunakan kain potong sehingga bersih.
f. Semak dengan pembantu sama ada sudah bersih atau tidak. - Ambil kain gulung. Bersihkan mata, hidung, telinga dan lubang pusat. Kemudian mulut bawah lidah dan gigi sebelah kanan atas dulu. Sentiasa tukar kain untuk setiap bahagian.
- Jirus kepala sehingga janggut.
- Alirkan air mutlak sehingga rata kepala lutut dan kaki dengan lembut. Guna sabun.
- Bersihkan kepala dan sikat dengan sikat yang jarang.
- Perempuan yang bersanggul hendaklah diurai dan basuh.
- Mandi basuh telah sempurna.
Tatacara Mandi Wajib Jenazah
- Jurumandi meniatkan untuk jenazah.
- Ambil wuduk untuk jenazah dengan sempurna.
- Jirus seluruh air mutlak dan mandi: Dimulai dengan sebelah kanan, atas ke bawah:
a. Bahagian kanan depan.
b. Bahagian kanan diri.
c. Bahagian kiri depan.
d. Bahagian kiri belakang. - Jirusan berikutnya dilakukan sebelah kanan dan kiri.
- Pastikan air rata hingga ke kulit.
- Bersihkan kuku dengan lidi (tidak digalakkan memotong kuku).
Tatacara Mandi Sembilan (Bidara/Sintok/Kapur Barus) untuk Jenazah
- Jirusan air bidara atau sintok dilakukan sebanyak tiga (3) kali. Dimulakan dari sebelah kanan jenazah dan diratakan ke seluruh badan secara berperingkat seperti berikut:
a. Bahagian kanan depan
b. Bahagian kanan belakang
c. Bahagian kiri depan
d. Bahagian kiri belakang - Jenazah dipusingkan secara mengiring ke kanan dan ke kiri untuk memastikan air merata ke seluruh badan termasuk bahagian belakang.
- Air diratakan sehingga ke hujung kaki supaya tiada bahagian tubuh yang tertinggal daripada disiram.
- Akhir sekali, air bercampur kapur barus dijirus dan diratakan. Mulakan dari sebelah kanan atas ke bawah sebagai penyudah dan pengharum kepada jenazah sebelum dikafankan.
Langkah Akhir Memandikan Jenazah
- Rambut jenazah disisir dengan perlahan agar tidak kusut dan teratur.
- Badan dan rambut jenazah dilap menggunakan tuala bersih sehingga kering.
- Jika terdapat rambut yang gugur semasa proses mandi, ia dihimpunkan dan dibungkus bersama kain kafan.
- Dubur jenazah disumbat dengan kapas; bagi jenazah perempuan, kapas tersebut boleh diikat dengan kain seperti cawat untuk menutup dan menjaga kebersihan.
- Sendi-sendi jenazah dilembutkan semula bagi memudahkan proses mengkafankan.
- Jenazah ditukarkan kepada kain bersih sebagai persediaan untuk proses kafan.
Proses Kafan Jenazah
Kafankan jenazah merupakan fardu kifayah yang wajib dilakukan selepas selesai memandikan jenazah. Ia bertujuan untuk menutup aurat dan memuliakan jenazah sebelum disolatkan dan dikebumikan. Proses ini dilakukan dengan penuh tertib, bersih dan sopan mengikut panduan syarak.
Senarai Semak Bahan Kafan
- Kain putih sepanjang 18–21 meter (13 ela) dan lebar 45 atau 60 inci – Sunat disiapkan.
- Dua (2) gulung kapas.
- Dua (2) plastik cadar.
- Dua (2) piring atau dulang (untuk isi minyak wangi dan kapur barus).
- Gunting.
- Air mawar atau botol.
- Sehelai tikar (untuk bentang jenazah semasa mengkafankan).
- Baju atau gamis (bagi lelaki) / tudung atau telekung (bagi perempuan).
- Kapur barus dan minyak wangi (untuk disapu pada anggota sujud dan badan).
- Semua bahan ini perlu disediakan sebelum proses kafan dimulakan agar pelaksanaan berjalan lancar dan teratur.
Proses Persediaan Awal Kafan Jenazah
- Letakkan tikar sebagai alas di tempat kafan.
- Susun lima (5) tali sepanjang lebih kurang empat (4) kaki untuk mengikat jenazah (di bahagian kepala, dada, pinggang, lutut dan kaki).
- Susunan kain kafan mengikut jantina:
a. Lelaki: Tiga (3) helai – dua (2) helai kain kafan, satu (1) helai kain sarung dan baju.
b. Perempuan: Lima (5) helai – dua (2) helai kain kafan, satu (1) kain sarung, satu (1) baju, dan satu (1) tudung. - Susun kain mengikut turutan daripada lapisan dan taburkan serbuk cendana di setiap helaian.
- Sediakan telekung atau tudung (jika jenazah perempuan).
- Sediakan kelengkapan (baju atau tudung) (perempuan).
- Ampas tumbuhan inai digunakan pada hujung jari perempuan sebagai penjagaan tambahan.
- Letakkan kapas bermula dari bahagian dada hingga ke bawah pada lapisan kain kafan yang terakhir.
- Setelah semua disusun, jenazah siap sedia untuk dikafankan.
Senarai Semak Proses Kafan Jenazah
- Jenazah diangkat daripada tempat mandi ke tempat kafan yang telah disediakan.
- Aurat jenazah dijaga dengan berhati-hati sepanjang proses.
- Jenazah ditutup dengan gamis atau pakaian khas kafan.
- Kapas diletakkan di atas anggota sujud dan beberapa bahagian badan yang perlu.
- Sarung dipakaikan jika disediakan dalam bentuk sarung kafan.
- Kedudukan tangan ditegakkan (qiam) di atas dada atau boleh juga diluruskan jika perlu.
- Rambut didandan dan disisir dengan kemas.
- Ikat pakaian jenazah seperti baju, sarung dan serban atau tudung dengan rapi.
- Balut lapisan kain kafan yang paling luar, dimulakan dari sebelah kanan jenazah.
- Balut lapisan-lapisan kafan seterusnya hingga selesai.
- Lakukan ikatan pada lima (5) bahagian utama (kepala, dada, pinggang, lutut, kaki); pastikan boleh dibuka dari sebelah kiri jenazah.
- Wajah jenazah dihias dengan sapuan bedak, rambut disisir dan dikenakan sedikit wangian.
- Waris dipersilakan untuk memberi ciuman terakhir jika diizinkan.
- Akhir sekali, bahagian kepala ditutup sepenuhnya dengan kemas.
Solat Jenazah
Setelah jenazah dikafankan, jenazah tersebut hendaklah disolatkan sebagai penghormatan terakhir sebelum dikebumikan. Tujuan solat jenazah adalah untuk mendoakan keampunan, kesejahteraan dan rahmat Allah SWT ke atas si mati. Berbeza dengan solat fardu, solat jenazah tidak ada rukuk dan sujud, sebaliknya dilakukan dengan empat (4) kali takbir, bacaan tertentu dan diakhiri dengan salam.
Syarat-Syarat Solat Jenazah
Syarat-syarat solat jenazah adalah sama seperti syarat-syarat sah solat yang lain, iaitu:
- Menutup aurat.
- Suci daripada hadas kecil dan besar.
- Pakaian dan badan bebas daripada najis.
- Menghadap ke arah kiblat.
- Jenazah diletakkan di hadapan makmum dengan kedudukan jenazah di sebelah kiblat bagi yang menyembahyangkannya.
- Semua syarat ini mestilah dipenuhi agar solat jenazah itu sah mengikut hukum syarak.
Tatacara Solat Jenazah
Pertama: Takbiratul ihram sambil berniat solat Jenazah di dalam hati.
Lafaz niat solat Jenazah seperti berikut
أُصَلِّي عَلَى هَذَا الْمَيِّتِ / هَذِهِ الْمَيِّتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةٍ إِمَامًا / مَأْمُومًا ِللهِ تَعَالَى
Allahu Akbar
Kedua: Setelah selesai takbir pertama, letakkan kedua-dua tangan ke dada sebagaimana solat biasa, kemudian bacalah surah al-Fatihah.
Ketiga: Setelah selesai membaca al-Fatihah, bertakbir pula kali kedua dan bacalah apa-apa selawat ke atas Nabi SAW. Namun, bacaan selawat yang dianjurkan ialah selawat Ibrahimiyah.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ
وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ
فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Keempat:
Jemaah perlu bertakbir kali ketiga dan diikuti dengan doa kepada mayat. Lafaz bacaan doa ialah sekurang-kurangnya dengan mengucapkan:
Untuk jenazah lelaki:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ
Terjemahan:“Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, sejahterakanlah dia, dan maafkanlah dia.”
Untuk jenazah perempuan:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا وَاعْفُ عَنْهَا
Terjemahan:“Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, sejahterakanlah dia, dan maafkanlah dia.”
Kelima:
Kemudian bertakbir kali keempat dan bacalah doa:
Untuk jenazah lelaki:
اللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تَفْتِنَّا بَعْدَهُ وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ
Terjemahan: “Ya Allah, janganlah Engkau haramkan kami daripada mendapat pahala kerana kematiannya, dan janganlah Engkau timpakan fitnah ke atas kami selepasnya. Ampunilah kami dan juga dia.”
Untuk jenazah perempuan:
اللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهَا وَلَا تَفْتِنَّا بَعْدَهَا وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهَا
Terjemahan:“Ya Allah, janganlah Engkau haramkan kami daripada mendapat pahala kerana kematiannya, dan janganlah Engkau timpakan fitnah ke atas kami selepasnya. Ampunilah kami dan juga dia.”
Keenam:
Mengucapkan salam sebanyak dua (2) kali, sebagaimana salam seperti solat-solat yang lain.
Doa setelah Solat Jenazah
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ، وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ، وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ، وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَعَذَابِ النَّارِ، اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ، وَلاَ تُضِلَّنَا بَعْدَهُ، وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ
Terjemahan:
“Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, sejahterakanlah dia dan maafkanlah dia. Muliakan tempat tinggalnya, luaskan tempat masuknya, bersihkan dia dengan air, salji dan air sejuk. Bersihkan dia daripada segala kesalahan sebagaimana Engkau membersihkan kain putih daripada kekotoran. Gantikan baginya rumah yang lebih baik daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Masukkanlah dia ke dalam syurga, dan lindungilah dia daripada azab kubur dan azab neraka. Ya Allah, janganlah Engkau haramkan kami daripada memperoleh pahala kerana kematiannya dan janganlah Engkau uji kami selepasnya. Ampunilah kami dan dia. Teguhkanlah dia ketika ditanya (dalam kubur), terangkanlah kuburnya, jadikanlah kuburnya sebagai taman daripada taman-taman syurga dan janganlah Engkau jadikan ia sebagai lubang dari lubang-lubang api neraka, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih dari segala yang mengasihi.”
GALI KUBUR DAN MENGKEBUMIKAN JENAZAH
Mengebumikan jenazah merupakan peringkat akhir dalam pengurusan jenazah dan termasuk dalam fardu kifayah ke atas umat Islam. Ia bertujuan untuk mengembalikan jasad ke bumi dengan penuh hormat, tertib dan mengikut syariat Islam.
Menurunkan jenazah ke dalam kubur
- Disunatkan membaca doa berikut ketika menurunkan jenazah ke dalam kubur:
بِسْمِ اللَّهِ وَعَلَى سُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Atau:
بِسْمِ اللَّهِ وَعَلَى مِلَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - Ahli keluarga si mati adalah orang yang paling afdal untuk memasukkan jenazah ke dalam kubur.
- Lelaki yang faqih dan soleh juga digalakkan menurunkan jenazah terutama jika keluarga tidak mampu melaksanakannya.
- Orang yang paling afdal mengebumikan jenazah ialah mereka yang lebih utama mengimami solat jenazah dari segi darjat nasab, seperti:
a. Bapa
b. Datuk
c. Anak lelaki
d. Cucu lelaki
e. Saudara lelaki
f. Dan seterusnya mengikut susunan hubungan darah. - Disunatkan jumlah orang yang menurunkan jenazah dalam bilangan ganjil seperti tiga, lima atau tujuh orang.
- Disunatkan menutup pandangan orang ramai ketika jenazah dimasukkan ke dalam kubur terutamanya bagi jenazah perempuan – dengan menggunakan kain atau penghadang yang sesuai.
- Disunatkan lelaki sahaja yang memasukkan jenazah ke dalam kubur bagi menjaga adab terhadap tubuh si mati.
- Makruh mengebumikan jenazah pada waktu-waktu yang dilarang untuk solat seperti ketika terbit matahari, tegak di tengah langit dan terbenam. Namun, harus dikebumikan pada waktu-waktu tersebut jika perlu dilakukan.
Perkara ini dilakukan terhadap Nabi SAW, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA dan disebut oleh Imam Ahmad.
Kedudukan Jenazah di Dalam Kubur
- Wajib meletakkan jenazah dalam keadaan mengiring di atas rusuk kanan dengan dada dan muka menghadap kiblat sebagaimana yang telah menjadi amalan umat Islam sejak zaman Rasulullah SAW.
- Sunat meletakkan sedikit tanah sebagai bantal di bawah kepala jenazah sebagai tanda penghormatan dan kelembutan terhadap si mati.
- Sunat membuka semua ikatan kafan yang mengikat tubuh jenazah agar ia lebih selesa dan bebas sebagaimana keadaan manusia ketika hidup.
- Sunat membuka kafan di bahagian muka lalu merapatkan pipi kanan jenazah hingga menyentuh tanah sebagai tanda kembali kepada bumi dan merendah diri di hadapan Allah SWT.
- Jika jenazah dikebumikan menggunakan keranda, maka wajib miringkan jenazah ke arah kiblat. Semua ikatan kafan perlu dibuka dan tanah hendaklah diletakkan di pipi kanan, belakang tengkuk, bahu dan dua lutut untuk mengelakkan jenazah daripada terlentang. Pipi kanan hendaklah dirapatkan dan disentuhkan kepada tanah yang dimasukkan ke dalam keranda.
Menimbus Kubur
- Afdhal dilakukan oleh orang lelaki kerana mereka lebih dituntut dalam urusan pengebumian jenazah menurut sunnah.
- Beradab ketika menimbus tanah seperti menahan tanah menggunakan tikar atau peralatan lain yang sesuai bertujuan menjaga kehormatan jenazah dan mengelakkan tanah jatuh secara kasar ke atas tubuhnya.
- Sunat meninggikan kubur sekadar satu jengkal daripada permukaan tanah sebagai tanda lokasi kubur dan mengelakkan daripada berlaku pengekuburan semula secara tidak sengaja di tempat yang sama.
- Permukaan kubur lebih utama diratakan dan dibolehkan meletakkan batu kecil atau batu nisan sebagai penanda asalkan tidak berlebihan atau bersifat menghias.
- Haram membina binaan kekal di atas kubur yang terletak di atas tanah wakaf kerana ia melanggar hukum wakaf. Bagi tanah persendirian, makruh membina binaan dan haram jika bertujuan menunjuk-nunjuk atau pembaziran harta.