Solat Jama’ Dan Qasar

Solat diberi kelonggaran untuk dijamakkan bagi mereka yang bermusafir melebihi dua marhalah (sekitar 92 km). Selain itu, jamak solat juga dibolehkan dalam keadaan tertentu apabila seseorang menghadapi halangan atau keuzuran.

Antara contoh individu yang dibenarkan menjamakkan solat ialah:

  1. Doktor yang sedang menjalankan pembedahan panjang dan tidak berpeluang menunaikan solat pada waktunya.
  2. Pesakit yang menjalani rawatan penyakit kronik seperti hemodialisis atau rawatan lain yang mengambil masa lama.
  3. Perempuan yang menaiki bas dalam perjalanan jauh dan khuatir tidak sempat berhenti untuk solat, atau bimbang keselamatannya jika turun dari bas.
  4. Wanita yang mengalami istihadah (keluar darah penyakit) hingga menyukarkan pelaksanaan solat pada waktunya.
  5. Orang yang berada dalam ketakutan, seperti dalam situasi peperangan atau ancaman musuh.
  6. Bidan yang perlu mengutamakan keselamatan ibu dan bayi ketika proses kelahiran dan bimbang kelewatan menunaikan solat boleh mendatangkan mudarat.

Maksud Solat Jamak

Solat Jamak bermaksud menghimpunkan dua solat fardu dalam satu waktu.

Contoh:

1.Menghimpunkan solat Zohor dengan solat Asar, sama ada dilakukan pada waktu Zohor atau Asar.

2.Menghimpunkan solat Maghrib dengan solat Isyak, sama ada dilakukan pada waktu Maghrib atau Isyak.

Solat Jamak terbahagi kepada dua jenis:

1. Jamak Taqdim

Jamak Taqdim ialah mengerjakan dua solat dalam waktu solat pertama.

•Solat Zohor dijamakkan dengan Asar dalam waktu Zohor.

•Solat Maghrib dijamakkan dengan Isyak dalam waktu Maghrib.

2. Jamak Takhir

Jamak Takhir pula bermaksud mengerjakan dua solat dalam waktu solat kedua.

•Solat Zohor dijamakkan dengan Asar dalam waktu Asar.

•Solat Maghrib dijamakkan dengan Isyak dalam waktu Isyak.

 

Maksud Solat Qasar

Solat Qasar bermaksud memendekkan bilangan rakaat solat daripada empat rakaat menjadi dua rakaat.

Solat yang boleh dipendekkan ialah:

•Solat Zohor, Asar dan Isyak.

Manakala solat Subuh dan Maghrib tidak boleh dipendekkan; rakaatnya kekal seperti biasa.

 

Kesimpulan Jamak dan Qasar

Secara ringkasnya:

•Jamak bermaksud menghimpunkan dua solat dalam satu waktu.

•Qasar bermaksud memendekkan bilangan rakaat solat.

Apabila seseorang mengerjakan dua solat dalam satu waktu, itu dinamakan Jamak.

Apabila solat empat rakaat dipendekkan menjadi dua rakaat, itu dinamakan Qasar.

Jika kedua-duanya dilakukan serentak, maka disebut Solat Jamak dan Qasar.

 

1. Solat Jamak & Qasar Zohor dan Asar (Jamak Taqdim)

Setelah masuk waktu Zohor, dan anda sudah berada dalam perjalanan musafir, berwuduklah dan bersedia untuk solat.

Tunaikan solat Zohor dahulu, diikuti dengan solat Asar.

Niat solat Zohor (Jamak Taqdim):

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوعًا إِلَيْهِ الْعَصْرُ أَدَاءً لِلّٰهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat fardu Zohor, qasar dua rakaat dan dihimpunkan kepada asar kerana Allah Taala.”

Laksanakan solat seperti solat fardu biasa.

Pastikan tidak ada jarak masa yang lama (muwalat) antara kedua-dua solat tersebut.

Niat solat Asar (Jamak Taqdim):

أُصَلِّي فَرْضَ العَصْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوعًا إِلَيْهِ الظُّهْرُ أَدَاءً لِلّٰهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat fardu Asar, qasar dua rakaat dan dihimpunkan kepada zohor kerana Allah Taala.”

Sempurnakan solat seperti biasa.

2. Solat Jamak & Qasar Zohor dan Asar (Jamak Takhir)

Setelah masuk waktu Zohor, dan anda sedang bermusafir, berniatlah untuk menunaikan solat Zohor pada waktu Asar nanti.

Apabila masuk waktu Asar, solat Asar dahulu, kemudian solat Zohor.

Niat solat Asar (Jamak Takhir):

أُصَلِّي فَرْضَ العَصْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوعًا إِلَيْهِ الظُّهْرُ أَدَاءً لِلّٰهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat fardu Asar, qasar dua rakaat dihimpunkan kepada zohor kerana Allah Taala.”

Solat seperti biasa.

Jangan pisahkan kedua solat terlalu lama (muwalat).

Niat solat Zohor (Jamak Takhir):

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوعًا إِلَيْهِ الْعَصْرُ أَدَاءً لِلّٰهِ تَعَالَى
“Sahaja aku solat fardu Zohor, qasar dua rakaat dihimpunkan kepada Asar kerana Allah Taala.”

Laksanakan solat seperti biasa.

3. Solat Jamak & Qasar Maghrib dan Isyak (Jamak Taqdim)

Setelah masuk waktu Maghrib, dan anda dalam perjalanan musafir, berwuduk dan bersedia untuk solat.

Solat Maghrib dahulu, kemudian solat Isyak.

Niat solat Maghrib (Jamak Taqdim):

ُصَلِّي فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلاَثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوعًا إِلَيْهِ العِشَاءُ أَدَاءً لِلّٰهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat fardu Maghrib, tiga rakaat dihimpunkan kepada isyak kerana Allah Taala.”

Laksanakan solat seperti biasa.

Jangan pisahkan kedua solat terlalu lama (muwalat).

Niat solat Isyak (Jamak Taqdim):

أُصَلِّي فَرْضَ العِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوعًا إِلَيْهِ المَغْرِبُ أَدَاءً لِلّٰهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat fardu Isyak, qasar dua rakaat dihimpunkan kepada maghrib kerana Allah Taala.”

Sempurnakan solat seperti biasa.

4. Solat Jamak & Qasar Maghrib dan Isyak (Jamak Takhir)

Setelah masuk waktu Maghrib, dan anda sedang bermusafir, berniatlah untuk menunaikan solat Maghrib pada waktu Isyak nanti.

Apabila masuk waktu Isyak, solat Isyak dahulu, kemudian solat Maghrib.

Niat solat Isyak (Jamak Takhir):

أُصَلِّي فَرْضَ العِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوعًا إِلَيْهِ المَغْرِبُ أَدَاءً لِلّٰهِ تَعَالَى
“Sahaja aku solat fardu Isyak, qasar dua rakaat dihimpunkan kepada maghrib kerana Allah Taala.”

Solat seperti biasa.

Jangan pisahkan kedua solat terlalu lama (muwalat).

Niat solat Maghrib (Jamak Takhir):

أُصَلِّي فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلاَثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوعًا إِلَيْهِ العِشَاءُ أَدَاءً لِلّٰهِ تَعَالَى
“Sahaja aku solat fardu Maghrib, tiga rakaat dihimpunkan kepada isyak kerana Allah Taala.”

Sempurnakan solat seperti biasa.

Ringkasan:

  • Jamak Taqdim dilakukan pada waktu solat pertama.
  • Jamak Takhir dilakukan pada waktu solat kedua.
  • Qasar pula bermaksud memendekkan solat empat rakaat kepada dua rakaat (Zohor, Asar dan Isyak).

Al-Azkar

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”

(Surah Ar-Ra’d, 13:28)